AJUNEE Kaur (kiri), Lesley Cheam, Wan Ying.
AJUNEE Kaur (kiri), Lesley Cheam, Wan Ying.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengacara, Lesley Cheam, 26, dinobatkan pemenang Miss Universe Malaysia 2022 sekali gus mewakili negara ke pertandingan Miss Universe 2022 di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat, pada 14 Januari tahun depan.

Lesley atau nama sebenarnya Lesley Cheam Wei Yeng yang berasal dari Selangor menewaskan 12 peserta lain selepas juri sebulat suara memberikan kemenangan kepadanya dalam acara yang berlangsung di sebuah hotel di Bukit Kiara, di sini, malam tadi.

Terkejut dengan kemenangan itu, dia mengakui saingan memang sengit antara semua peserta bertanding, namun bersyukur rezeki berpihak kepadanya.

"Memang saya terkejut kerana rata-rata peserta bekerja-keras untuk memberikan yang terbaik pada malam ini. Semua sudah melakukan sehabis baik.

"Tanggungjawab membawa nama Malaysia akan saya galas sebaiknya. Saya berjanji memperbaiki segala aspek sebagai persiapan untuk bertanding di peringkat antarabangsa nanti," katanya.

Lesley turut berkongsi dia mengalami cabaran tertentu pada gaun malam yang digayakannya pada saat-saat akhir.

"Sehari sebelum, pereka pakaian saya terpaksa mengubah ukuran gaun itu kerana longgar. Itu antara hal menarik di sebalik persiapan saya sebelum bertanding pada pentas sebenar hari ini (malam tadi)," katanya.

Lesley dimahkotakan pemenang Miss Universe 2020, Francisca Luhong James. Pada tahun lalu, edisi 2021 tidak diadakan disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

Tempat kedua dimenangi Ajunee Kaur, 20, seorang siswazah undang-undang dari Kuala Lumpur, manakala tempat ketiga milik Wan Ying, 25, dari Pahang.

Peserta lain bertanding adalah Kavernna Nair Sukumaran, 26, dari Selangor, Varyne Foo Augustine, 20, KL, Theva Kasinathan, 27, Selangor, Siujane Wong, 25, Selangor, Kate Lai, 26, Melaka, dan Joann Tiong Hau Ping, 21, Sarawak.

Jingle Phan Jing Mun, 26, Perak, Clarissa Tay Wei Qi, 24, Selangor, Buganna S. Saravana Kumar, 24, Melaka, dan Asha / Annatasha Shanty Jeremiah, 25, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 8:23 AM