LESLEY mendakwa dia membayar elektrik secara tambah nilai sejak enam tahun lalu, namun masih berhutang. FOTO Agensi
LESLEY mendakwa dia membayar elektrik secara tambah nilai sejak enam tahun lalu, namun masih berhutang. FOTO Agensi
Agensi

Glasgow: Entah di mana silapnya, seorang wanita di Scotland terpaksa menanggung hutang bil elektrik sebanyak 4,000 pound sterling (kira-kira RM22,800).

Lesley Hill, 43, didenda dengan jumlah itu selepas syarikat tenaga elektrik negara berkenaan mendakwa dia menggunakan elektrik secara haram.

Ibu tunggal itu bagaimanapun mendakwa dia membayar elektrik secara tambah nilai sejak enam tahun lalu.

Namun, bayaran itu dikatakan tidak dibuat untuk kediaman yang dihuninya selama ini.

Dia mendakwa bayaran tambah nilai elektrik itu berkemungkinan dimasukkan ke dalam akaun kediaman lain.

Dia menukar cara bayaran daripada bulanan kepada tambah nilai sejak 2015 selepas berpisah dengan suaminya.

Bayaran yang dibuat secara konsisten dan meter elektrik berfungsi dengan baik untuk tempoh setahun saja.

Selepas itu, dia mula menerima surat tuntutan hutang daripada syarikat penyediaan perkhidmatan.

"Saya kemudian membayar hutang itu secara ansuran namun terus menerima surat tuntutan hutang.

"Mereka bagaimanapun terus menghantar surat serta menghubungi saya untuk menuntut hutang sedangkan tahu saya menggunakan meter tambah nilai," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin disebabkan meter miliknya didaftarkan untuk kegunaan premis lain.

Katanya, isu berkenaan sudah disuarakan kepada syarikat pembekal tenaga dan dikatakan akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

"Namun sehingga kini saya masih menerima bil pembayaran dan mereka mahu saya melangsaikan segera hutang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 12:51 PM