Thuzar Wint Lwin di pentas Miss Universe. FOTO FB Thuzar Wint Lwin.
Thuzar Wint Lwin di pentas Miss Universe. FOTO FB Thuzar Wint Lwin.
AFP

Washington: Ratu cantik Myanmar menggunakan pentas Miss Universe di Florida pada Ahad untuk menarik perhatian dunia mengenai kemelut rampasan kuasa tentera di negaranya.

Pertandingan itu yang kembali ditayangkan di televisyen selepas dibatalkan tahun lalu kerana pandemik Covid-19, menobatkan ratu cantik Mexico, Andrea Meza, 26, sebagai Miss Universe.

Thuzar Wint Lwin yang berjaya menduduki tempat 21 teratas berkongsi penderitaan penduduk negaranya selepas tentera junta merampas kuasa dan menggulingkan pentadbiran Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

"Rakyat kami menderita dan ditembak tentera setiap hari. Untuk itu saya memohon anda semua untuk bersuara mengenai Myanmar," katanya ketika video biografi yang menayangkan gambarnya menyertai protes anti penindasan di Myanmar.

Dia juga dinobatkan pemenang kostum kebangsaan terbaik ketika segmen itu pada Khamis.

Wint Lwin memakai gaun tradisional berlabuci dengan 'hiasan' bunting 'Pray for Myanmar'.

Terdahulu, Meza mengalahkan 70 peserta lain yang bertanding merebut gelaran tercantik untuk pertandingan yang memasuki tahun ke-69 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 1:08 PM