Pelakon suara watak Upin dan Ipin, Asyiela Putri pada majlis pelancaran Semangat Lebaran Kita yang dibawakan di stesen Astro sepanjang Ramadan Raya 2022 ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Pelakon suara watak Upin dan Ipin, Asyiela Putri pada majlis pelancaran Semangat Lebaran Kita yang dibawakan di stesen Astro sepanjang Ramadan Raya 2022 ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Selama 13 tahun melakonkan suara untuk watak Upin & Ipin, Asyiela Putri Azhar, 22, tidak pernah bosan untuk terus menjayakan watak animasi popular itu.

Melakonkan watak itu sejak berusia 10 tahun, siri animasi terbitan Les' Copaque itu sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.

Asyiela sendiri tidak menyangka 'suara emas' miliknya terus menjadi nadi utama animasi berkenaan.

"Masa awal-awal jadi pelakon suara, saya tak tahu nak jangka apa. Bila dapat rasa pengalaman baharu, saya rasa ia sangat menyeronokkan.

"Kerja memang susah tapi pada masa sama, saya sentiasa mengasah kemahiran itu. Saya sangat menghargai rezeki ini yang saya kira paling besar untuk saya. Sokongan peminat terutama dari Indonesia buat saya sangat terharu," katanya.

Asyiela berkata, dia juga pernah berdepan kesukaran sewaktu baharu bermula menjadi pelakon suara.

Dia tidak sangka peminat animasi itu akan mengambil tahu siapa pemilik suara di sebalik watak Upin & Ipin.

"Apabila menjadi pelakon suara, tugas saya cuma berada di belakang tabir. Namun, tak sangka orang pun nak ambil tahu juga pasal saya.

"Tapi ada juga yang tak suka. Ketika kanak-kanak dulu, saya mungkin belum bijak mengawal emosi dan berdepan komen-komen negatif. Alhamdullilah, sekarang saya okay saja," katanya.

Asyiela yang juga penuntut jurusan pengiklanan di Universiti Multimedia (MMU) berkata, dia memikul tanggungjawab besar untuk memastikan dia sentiasa memberikan 'nyawa' dalam Upin & Ipin dengan berkesan.

"Bila jadi pelakon suara, emosi suara itu paling penting untuk bagi orang faham contohnya emosi sedih. Tak perlu menangis pun tapi suara itu kena betul-betul sedih. Itu antara cabarannya.

"Saya banyak juga buat kajian menerusi animasi-animasi yang lain. Saya tonton kartun lain untuk melihat bagaimana corak lakonannya dan belajar," katanya.

Asyiela menyarankan sesiapa yang cuba menjadi pelakon suara tidak takut berbuat demikian.

Pada mulanya, dia sendiri ragu-ragu sekiranya boleh menggalas tanggungjawab pelakon suara yang berbeza dengan pelakon sebenar.

"Apa pun jenis suara sama ada suara kecil, tinggi atau besar, cuba saja. Ini kerana pengalamannya memang menyeronokkan," katanya.

Asyiela mula disunting Les' Copaque untuk melakonkan suara Upin & Ipin pada usianya baru 10 tahun. Menurutnya, rezeki itu tidak disangka dan bersyukur diberi kepadanya.

"Ayah saya sebenarnya pensyarah animasi dan kenal dengan pemilik Les' Copaque. Jadi, saya berjumpa dan bersembang dengan mereka dalam sebuah majlis. Mereka rasa suara saya sesuai untuk watak Upin & Ipin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 2:24 PM