FIZA Frizzy. FOTO Hafiz Sohaimi
FIZA Frizzy. FOTO Hafiz Sohaimi
Norhayati Nordin

Baru tiga bulan mendirikan rumah tangga, pengacara Fiza Frizzy, 30, bersikap terbuka berkongsi cerita kehamilannya.

Fiza bertemu jodoh dengan jejaka pilihannya yang juga bekas pemain bola sepak Kuantan FA, Fazli Zulkifli, 36, pada 18 Februari lalu.

Menurut pengacara program CJ Wow Shop ini, dia lebih gemar berterus terang daripada menyembunyikan perkara itu.

Pemilik nama sebenar Nur Hafizah Md Saad itu memberitahu, tidak ada apa yang perlu disorokkannya kerana ia perkara baik.

“Apatah lagi, sekarang Ramadan. Jadi, tidak salah rasanya jika berkongsi berita gembira saya kini hamil dua bulan.

“Saya dan suami memang mahu menimang cahaya mata dengan segera.

“Suami pun sudah agak berusia manakala saya pula 30-an, jadi adalah lebih baik untuk kami cepat memiliki cahaya mata.

“Justeru, apabila Allah SWT menganugerahkan rezeki (zuriat) yang sangat bermakna ini, kami sangat bersyukur,” katanya.

Berbicara mengenai pengalaman alahan dialami, Fiza berkata, dia tidak melalui keadan itu, tetapi suaminya yang diuji.

“Sejak hamil, saya semakin aktif. Namun, kasihan suami kerana sering pening dan selera makan bertambah.

“Apapun, semoga kandungan ini sihat dan urusan saya sepanjang tempoh kehamilan dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyambut Ramadan sebagai isteri buat pertama kali, Fiza berkata, dia sangat teruja.

“Ketika bujang dulu saya tak ambil kisah sangat soal bersahur. Sekarang, situasinya sudah berubah.

“Selain bersahur dengan suami, saya terlebih dahulu harus menyiapkan hidangan.

“Dalam erti kata lain, saya kini makin mesra dengan urusan kerja di dapur terutama menguruskan makan dan minum suami.

“Mujur suami tidak cerewet soal makan, asalkan ada hidangan wajib iaitu sambal pedas sudah cukup,” katanya.

Fiza berkata, dia kini semakin seronok memasak meskipun kebanyakan resipi dipelajari daripada Internet.

“Mula-mula memang kekok, tetapi sekarang apabila sudah jadi rutin, memasak sangat menyeronokkan.

“Apatah lagi, memasak juadah untuk dinikmati bersama suami membuatkan saya jadi rajin dan bersemangat ke dapur,” katanya.

FIZA Frizzy. FOTO Hafiz Sohaimi
FIZA Frizzy. FOTO Hafiz Sohaimi

Gementar beraya dengan mentua

Setahun bebas menyusun jadual tugas sebagai pengacara, Fiza berkata, dia kini lebih tenang.

Sebaik nekad meninggalkan konti radio iM4U FM, keputusan itu sudah difikirkan sedalam-dalamnya.

“Kerja di konti radio dan pada masa sama sibuk mengacara program TV, jadual kerja saya terlalu padat.

“Memandangkan saya akan berkahwin dan mempunyai tanggungjawab besar dalam rumah tangga maka pengorbanan harus dilakukan.

“Saya memilih untuk menamatkan karier sebagai deejay dan mengatur sendiri jadual kerja secara bebas.

“Tidak terikat dengan mana-mana stesen TV dan radio membuatkan urusan saya jadi lebih mudah,” katanya.

Berbicara mengenai sambutan Aidilfitri, Fiza berkata, dia akan beraya bersama keluarga mentua.

“Sebagai ahli baru dalam keluarga suami, saya rasa gementar memikirkan akan beraya dengan mentua.

“Ini kerana saya masih dalam proses menyesuaikan diri. Apa pun, saya bersyukur mendapat mentua yang baik dan penyayang.

“Malah, baru-baru ini saya sempat berbuka puasa dengan mentua di Pulau Pinang.

“Memang seronok, tetapi pada masa sama rasa gementar tetap ada,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai lebaran, Fiza berkata, dia dan suami sepakat untuk melakukan persiapan awal termasuk sudah membeli baju rona sedondon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:19 AM