Muss.
Muss.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi rock popular, Muss, 54, menyifatkan penyanyi lama sepertinya yang terbabit dalam program realiti Gegar Vaganza (GV) perlu bijak mencari dan mengambil peluang disediakan itu untuk menyerlah semula.

Muss yang juga bekas penyanyi May dan Wings berkata, program itu hanyalah sebagai platform 'kemunculan semula' saja, selebihnya tetap bergantung atas diri kita sendiri untuk cuba terus dapatkan peluang 'cari makan' dalam industri muzik lagi.

"Menerusi pengalaman saya sendiri yang pernah menyertai GV musim ketujuh pada 2020, sebagai 'pemain' kita kena patut tahu ambil peluang disediakan itu kerana ia amat penting.

"Kalau kita sendiri yang tak pandai ambil peluang, habislah. Tak ke manalah, sebab tidak semua orang akan menjadi. Tapi, kalau kita pandai dan dalam kepala ada terfikir yang benda itu (program GV) platform, jadi kita gunakanlah untuk 'sambung semula'.

"Jadi, saya rasa GV ini adalah salah satu tempat yang kalau kita dapat masuk, kita pandai, kita akan dapat sesuatu. Tapi, kalau kita tak pandai, jadi habis macam itu sajalah," katanya kepada Harian Metro.

Muss berkata, dengan konsep 'platform' sebegitu kita yang harus tahu hala tuju jalannya kerana kalau kena betul, kita akan jadi ada 'contact' dengan pihak lain, orang kenal kita dan boleh buat perancangan seterusnya.

"Bagaimanapun, pada mereka yang dah mencuba tapi masih tak menjadi, anggaplah tiada rezeki. Macam saya pun, tujuan masuk GV dulu bukan nak buat platform, tapi rasa macam ada 'something'. Tempat yang ada banyak benda kita tak ada pengalaman, tapi boleh cuba dan belajar.

"Saya banyak ambil peluang. Banyak bendalah seperti dua, tiga perkara kalau saya tak masuk GV, saya tak tahu dan merasa benda-benda ini," katanya mengakui pernah terasa hati juga dengan komen pedas juri serta kecaman netizen.

Muss berkata, bagaimanapun dia akhirnya mengambil semua rasa sakit hati itu secara positif, yang mana ia sama sekali membawanya kepada jalan keluar.

Katanya, dia semakin faham yang dirinya kena kental menghadapi segala kritikan orang itu sebagai semangat berjuang.

Pada final GV7 lalu, Muss tampil naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 selepas tewas kepada penyanyi Projek Pistol, Cliff Umar yang muncul juara, manakala Ayu Damit di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 4:40 PM