Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Mas Idayu menjadi artis pertama yang mengenakan 'veil' atau kain layah terapung bagi busana perkahwinan yang dipakai pada majlis resepsi yang diadakan di sebuah premis acara, di sini, malam tadi.

Perancang perkahwinan yang juga pereka busana itu, Anas Abdullah berkata, dia menggunakan 18 belon bagi menerbangkan kain layah itu selain mengambil masa tiga hari untuk sesi latihan.

"Bila Mummy (Mas Idayu) nak kahwin, saya bincang dengan dia nak buat sesuatu yang luar biasa dan lain daripada yang lain. Jadi, apa kita bincang adalah 'veil' terapung pertama di Malaysia. Hari ini terbukti, 'veil' pertama terapung ini berjaya dipakai oleh Mas Idayu.

"Keseluruhan ada 18 belon dengan panjang 'veil' 15 kaki. Selama tiga hari kami buat latihan dan percubaan untuk menerbangkan 'veil' ini. Alhamdulillah, malam ini berhasil.

"Memang penat, tapi Mummy cakap memang berbaloi. Sebab dia orang pertama yang pakai macam ni. Dia memang puas hati," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Anas, kos busana perkahwinan yang digayakan Mas Idayu dan suaminya, Muhammad Sufian Che Isa itu adalah RM12,000.

"Dua tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak ada majlis perkahwinan yang 'wedding of the year'. Jadi, bila Mummy nak kahwin kami memang sasarkan majlis 'wedding of the year'.

"Apabila kami bagi pendapat, dia terima. Dia juga berikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menguruskan semua majlis. Alhamdulillah, inilah hasilnya," katanya.

Pada majlis itu, dianggarkan lebih 300 tetamu hadir terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis, media dan kenalan.

Antara artis yang hadir ialah Ziana Zain, Erra Fazira, Ella, Fauziah Latiff, Datuk Hattan, Hazama, Black Hanifah, Johan, Ozlynn Wati, Liza Hanim, Nabil Ahmad, Amelina, Ieda Moin dan ramai lagi.

Turut hadir selebriti terkenal dari Indonedia, Soimah dan penyanyi dari Singapura, Kak Ros.

Terdahulu, Mas Idayu, 50, sah bergelar isteri kepada pasangannya yang juga Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, pada jam 10.40 pagi, hari ini.

Kedua-dua mempelai dinikahkan oleh Imam dan penolong pendaftar nikah masjid jamek Kampung Baru, Ustaz Azizi Abd Hamid dengan mas kahwin RM1,001 di Magica Events Hall, Kuala Lumpur. 

Kain layah dipakai Mas Idayu pada majlis resepsi perkahwinan yang diadakan malam tadi.
Kain layah dipakai Mas Idayu pada majlis resepsi perkahwinan yang diadakan malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 11:29 PM