Drama Tilit-Tilit Cinta.
Drama Tilit-Tilit Cinta.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Tilit-Tilit Cinta (Spying Your Love) mencipta sejarah apabila menjadi drama dialek Sarawak pertama ditayangkan di Netflix, bermula esok.

Diedarkan MyContent Distribution, drama bersiri 13 episod terbitan Vian Media itu adalah adaptasi daripada teater Latiff vs Maryam, karya asal Arshad Adam.

Pengarah Urusan MyContent Distribution, Lyn Nasihin yang juga anak jati Sarawak berkata, karya berunsur dialek dari Borneo juga perlu diperkenal dan pasti menarik di pasaran antarabangsa.

"Matlamat kami di MyContent Distribution adalah untuk mengembangkan industri kandungan kreatif di Malaysia dengan mengedarkan karya kandungan kreatif tempatan ke platform-platform penstriman global.

"Ini bertujuan untuk menggalakkan syarikat produksi tempatan menghasilkan lebih banyak karya yang boleh dipasarkan untuk tontonan antarabangsa, seperti Tilit-Tilit Cinta," katanya.

Pembikinan drama itu dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui Dana Kandungan Digital (DKD). Tilit-Tilit Cinta antara sembilan penerima DKD melalui program TVS Pitch It Siri 1/2020.

Drama arahan Josh Nawan itu berkisar kisah percintaan Ujang lakonan Haziq Fadhullah dan Merry (Dee Dee A'iene) yang penuh romantik serta jenaka.

Turut berlakon ialah Kahar Jini, Yana Melanos dan Javenson Serit.

Drama itu ditayangkan di TV Sarawak (TVS), saluran 122 Astro dan MYTV tahun lalu bermula 9 Oktober hingga 21 November.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 4:27 PM