LOW  (tengah) bersama pemenang pada Majlis Pengumuman Pemenang Aeon #classicmalaysianmoments di Aeon Taman Maluri, Cheras. - Gambar NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
LOW (tengah) bersama pemenang pada Majlis Pengumuman Pemenang Aeon #classicmalaysianmoments di Aeon Taman Maluri, Cheras. - Gambar NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

AEON Malaysia sekali lagi menampilkan penyertaan pada arena token tidak sepiawai atau non-fungible token (NFT) sempena sambutan kemerdekaan dengan menawarkan 4,800 NFT percuma yang boleh ditebus bermula Isnin depan (19 September 2022).

Ketua Barang Dagangan dan Pegawai Pemasaran Aeon Malaysia, Low Ngai Yuen berkata, menerusi kempen #ClassicMalaysianMoments, pihaknya memberi peluang kepada orang ramai berkongsi pengalaman mereka yang menggambarkan keunikan Malaysia.

Katanya, Aeon juga bekerjasama dengan Meta Universe (MU), pembekal penyelesaian perusahaan tulen untuk semua perkara NFT dan metaverse, yang memberikan hala tuju dan sokongan lebih lancar dalam pelayaran ke arah aliran digital sepanjang peraduan terbabit.

"Kami menerima sambutan begitu memberangsangkan pada kempen sebelum ini, Kuih Raya Kita Digital Gift yang turut menawarkan aset digital NFT kepada peserta.

"Kami percaya sempena #ClassicMalaysianMoments, lebih ramai pelanggan yang akan berkongsi pengalaman berharga mereka melalui hasil kreatif yang menonjolkan keunikan Malaysia.

"Kami gembira untuk bersama dengan pelanggan Aeon dalam berkongsi aset digital ini kepada seramai yang mungkin sebagai tanda penghargaan kepada semua pelanggan.

"Bagi pemenang yang terpilih, hasil kreatif mereka akan dijual di platform e-dagang NFT dan keuntungan hasil jualan adalah milik pelanggan sepenuhnya," katanya di majlis penyampaian hadiah kepada 10 pemenang NFT #ClassicMalaysianMoments di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 7:01 AM