Zurayati Shabdin bersama suaminya, Ewan yang juga penyanyi kumpulan Fair.
Zurayati Shabdin bersama suaminya, Ewan yang juga penyanyi kumpulan Fair.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Selepas seminggu menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku dalam otak bahagian belakang kepalanya, keadaan penyanyi kumpulan rock Fair, Ewan, 48, semakin baik.

Isterinya, Zurayati Shabdin, 44, berkata, dia bersyukur suaminya akan dipindahkan dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa Hospital Sungai Buloh (HSB) hari ini.

"Keadaannya beransur pulih. Ewan dah tak pakai mesin pernafasan cuma dipasangkan tiub oksigen di hidungnya. Begitu juga bacaan tekanan darah dan oksigen kembali stabil berbanding sebelum ini.

"Ewan boleh bercakap tapi perkataannya belum jelas sangat. Begitu juga ingatannya okey. Dia boleh ingat pada mak, ayah dan ahli keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, doktor memaklumkan suaminya masih dalam pemantauan dan perlu menjalani rawatan terapi serta senaman selepas ini.

"Belum dapat dipastikan bila dia akan dibenarkan balik sehingga betul-betul pulih. Berkenaan bantuan pula, saya ada pergi ke pejabat zakat semalam dan dimaklumkan ada bantuan akan diberikan dari segi makanan dan penjagaan seperti susu, lampin dewasa, katil dan kerusi roda.

"Rakan-rakan artis yang seangkatan Ewan ada yang beri sumbangan bantuan kilat kepadanya. Alhamdulillah, saya berterima kasih terhadap keprihatinan mereka," katanya.

Terdahulu, Ewan atau nama sebenarnya Indra Gunawan Basri, 48, menjalani pembedahan itu Ahad lalu.

Ewan sebelum ini dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang oleh isteri, adik dan ibunya dan pemeriksaan doktor mendapati tekanan darahnya tinggi iaitu 220/175 dan diberikan ubat.

Ewan kemudian dipindahkan ke HSB untuk proses CT scan (ujian imbasan tomografi berkomputer) dan doktor mendapati ada pendarahan teruk di bahagian kepalanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 10:56 AM