Ewan semakin stabil.
Ewan semakin stabil.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Keadaan penyanyi kumpulan rock Fair, Ewan, 48, yang menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku dalam otak bahagian belakang kepalanya, Ahad lalu semakin baik.

Isterinya, Zurayati Shabdin, 44, yang menziarahi Ewan di Hospital Sungai Buloh (HSB) petang kelmarin ketika dihubungi berkata, dia bersyukur ada perkembangan baik terhadap kesihatan suaminya.

"Doktor buat CT scan (ujian imbasan tomografi berkomputer) selepas pembedahan dan mendapati tiada pendarahan baru dalam otaknya. Begitu juga darah beku yang dikeluarkan semua jadi bersih dan tiada lagi kesan dalam otak belakangnya. Tekanan darah dan oksigen dalam darah juga stabil.

"Ewan sudah ada tindak balas apabila saya bisik di telinganya. Matanya berkelip dan ada gerakan mata cuma dia belum boleh membukanya kerana masih lemah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, doktor memaklumkan pada sebelah pagi, Ewan sedar dan berusaha untuk menggerakkan badan tetapi keadaannya masih lemah.

"Doktor bagi ubat penenang supaya dia berehat sampai dia betul-betul kuat. Tengoklah perkembangan dia dalam seminggu dua ini macam mana. Insya-Allah kalau Ewan kuat semangat, dia akan sedar dan kalau dapat bernafas sendiri doktor akan buka mesin pernafasan. Apapun ia bergantung pada keadaan Ewan juga," katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Zakat Selangor ketika dihubungi mengesahkan Ewan berstatus asnaf berdaftar dengan mereka dan menerima bantuan sejak 2015.

"Skuad Saidina Umar akan ke sana (HSB) untuk melihat keadaan Ewan dan Insya-Allah dia akan dibantu," katanya.

Sabtu lalu, Ewan atau nama sebenarnya Indra Gunawan Basri, 48, yang pulang dari menjadi juri pertandingan karaoke di Stadium Kuala Selangor tiba-tiba menjadi terlalu lemah sebaik keluar dari kereta sehingga terpaksa dipapah masuk ke dalam rumah ibunya di Tanjung Karang.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang oleh isteri, adik dan ibunya. Pemeriksaan doktor kemudian mendapati tekanan darahnya tinggi iaitu 220/175 dan diberikan ubat.

Ewan kemudian dipindahkan ke HSB untuk ujian CT scan dan doktor mendapati ada pendarahan teruk di bahagian kepalanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:54 AM