Azhar Sulaiman. Foto dari Instagram
Azhar Sulaiman. Foto dari Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Azhar Sulaiman, 51, bersikap prihatin dengan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang wanita yang mendakwa rumah tangganya diganggu oleh anak aktor itu, Kasih Iris Leona.

Azhar menerusi hantaran tulusnya yang dikongsikan di Instagram, turut menitipkan 'nasihat mendalam' buat wanita terbabit serta mendoakan yang terbaik buatnya agar sentiasa mendapat lindungan daripada Allah SWT.

"Saya tak mahu memanjangkan perkara ini dengan anda pasal Leona. Saya doakan yang terbaik dalam hidup anda dan sentiasa di bawah lindungan Allah SWT selalu.

"Hanya nasihat mesra untuk anda... Carilah seorang kawan baru yang mahir pasal 'mediasos' (media sosial) ini...

"Dengan saya, anda terselamat sebab saya masih memikirkan kesihatan mental anda... Kalau orang lain, pasti mereka akan saman anda...," tulisnya.

Dua hari lalu, Azhar menerusi kepsyen foto ditulisnya di Instagram berkongsi mengenai Leona yang dipanggil dengan sapaan Kasih bertanya soal politik dan jelasnya, 'respond mami' - jangan masuk campur dan peningkan kepala sendiri.

Menerusi hantaran berkenaan juga, seorang wanita yang menggunakan akaun naosa25121985 didapati meninggalkan komen panjang lebar mendakwa Leona menjalin hubungan dengan suaminya, serta meminta Azhar memulangkan sejumlah wang miliknya yang dikatakan sudah diterima oleh Leona secara bulanan sepanjang perkenalan.

Bagaimanapun, komen itu sudah dipadam.

Justeru, difahamkan Azhar turut menghubungi wanita berkenaan menerusi WhatsApp bagi meminta bukti atas segala dakwaan dibuatnya ke atas Leona. Namun, wanita itu memaklumkan kepada Azhar, dia mengesyaki suaminya ada hubungan dengan Leona, gara-gara lelaki terbabit membuat ciapan semula (retweet) satu status di muat naik Leona sebelum ini.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Azhar berkaitan perkara ini tidak berjaya apabila mesej dikirim kepadanya masih tidak dibalas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 2:33 PM