Mak Wan.
Mak Wan.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Apa yang berlaku sekarang ini adalah ujian yang Allah bagikan pada Mak Wan.

"Sekurang-kurangnya Mak Wan bersyukur kerana Allah masih bagi ujian kepada Mak Wan. Dia masih memilih Mak Wan untuk ujian-ujian dan dugaanNya,".

Demikian kata pelakon Mak Wan Julia, 61, mengenai kontroversi yang dilaluinya kebelakangan ini.

Menurutnya, dia reda dengan apa yang terjadi dan pasrah selagi bernafas selagi itulah akan berdepan ujian Allah.

"Jadi keistimewaannya Allah bagi ialah Mak Wan banyak sabar. Dia pun nak tengok sesabar mana Mak Wan.

"Alhamdulillah...kawan-kawan Mak Wan banyak support Mak Wan. Begitu juga warganet di luar sana. Mak Wan ucapkan terima kasih kepada semua yang ada diluar sana kerana banyak support Mak Wan.

"Dan Mak Wan juga maafkan mereka yang mungkin ada mengecam Mak Wan," katanya yang ditemui semasa hadir menyaksikan persembahan Sepetang Bersama Ibnor Riza yang akan berlangsung di Hotel Grand Barakah, Ampang semalam.

Pada 28 Julai lalu, pelakon bernama sebenar Halimatussa'diah Mohd Daud dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping atas tuduhan berkelakuan aib iaitu meludah dengan tujuan membangkitkan kemarahan terhadap seorang wanita.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mak Wan Latah didakwa dengan sengaja meludah kepada Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di alamat Lorong Haji Wahab, Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, di sini kira-kira jam 7 malam 24 Jun lalu.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.

Mengulas perkara ini, Mak Wan berkata, dia tidak tahu apa sebenarnya yang individu terbabit mahukan dan tidak tahu apa yang dia tidak puashati terhadapnya sehingga sanggup memfitnah begini.

"Sedangkan Mak Wan sendiri tak aibkan dia dan buka aib dia. Apa yang berlaku Mak Wan hanya diam. Mak Wan tak nak bising-bising atau aibkan sesiapa.

"Daripada bekas suami dulu pun Mak Wan tak aibkan dia, sampailah sekarang sehinggalah sampai ke lubang kubur pun Mak Wan takkan buka aib sesiapa. Itu Mak Wan.

"Walaupun dia kata Mak Wan meludah dia atau apa-apa sajalah, Mak Wan tak pernah jentik pun dia dan Mak Wan tak pernah pun kasar dengan dia. Ini Mak Wan," katanya.

Dia menerima perkara ini dengan hati terbuka dan berkata, orang luar, saudara mara dan anak-anaknya boleh menilaikan siapa Mak Wan sebenarnya.

"Disitulah mereka tahu Mak Wan macamana. Dan kawan-kawan shooting Mak Wan pun tahu siapa Mak Wan dan tak perlu berkata apa-apa. Itu sahaja," katanya.

Sementara itu, kesalahan kes ini dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, menawarkan jumlah jaminan RM5,000 terhadap Mak Wan sebelum Majistret membenarkan Mak Wan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan untuk kes disebut semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 5 September ini.

Media turut melaporkan bahawa menerusi temubual dengan sebuah portal dalam talian sebelum ini, Amell mengaku pernah memukul Mak Wan atas alasan mempertahankan diri selepas diludah oleh Mak Wan ekoran bertanya satu soalan yang menimbulkan kemarahan pelakon veteran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 12:54 PM