WAN dan Mell merancang untuk berbulan madu di New Zealand.
WAN dan Mell merancang untuk berbulan madu di New Zealand.
Ridzuan Abdul Rahman


Mahu menjadi isteri solehah dan Muslimah yang baik. Itu azam penyanyi Sakura Band, Melley Matius atau Mell apabila bergelar isteri kepada pemain dram kumpulan 6ixth Sense, Mohammad Safwan Hasnan atau Wan.

Kesungguhan Mel ini diakui Wan yang kagum dengan pendirian isterinya. Apatah lagi, Mel memeluk Islam selepas mendapat sokongan ibunya, Nur Batrisyah.

“Saya kagum dengan kegigihan Mell untuk mendalami Islam. Syukurlah ibu saya pun seorang ustazah jadi sedikit sebanyak dapat juga membantunya.

“Sejak jadi isteri, dia rajin mendalami Islam dan ada saja soalan yang ditanya. Sekiranya saya belum ajak bersolat, dia yang akan ajak dulu. Insya-Allah tahun depan dia bercadang menyertai kelas agama,” katanya.

Mell, 29, dan Wan, 30, bernikah pada 24 November lalu di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah, manakala majlis resepsi berlangsung dua hari selepas itu.

Majlis menyambut menantu sebelah keluarga Wan pula berlangsung meriah di Bangi Golf Resort, Ahad lalu.

Pasangan ini bercinta selama enam tahun sebelum mendirikan rumah tangga.

Mell mengakui berbeza ketika bercinta, suaminya sangat mengambil berat dalam segala hal apabila dirinya bergelar isteri.

“Dia lebih matang dan ambil berat mengenai saya. Dia juga faham tanggungjawabnya. Setiap benda mengenai saya pasti dikawal olehnya.

“Dulu dia kurang ambil tahu apa yang saya buat. Sekarang, semua benda dia nak tahu. Saya juga bangun awal dan belajar memasak dengan ibunya,” katanya.

Pasangan ini turut mengakui mereka sepakat berkongsi kehidupan yang dilalui berbanding mengikut ‘kepala’ sendiri ketika hidup solo dahulu.

“Sekarang kalau nak basuh baju, saya kena bawa juga baju isteri sekali untuk dicuci. Kami baru sebulan hidup bersama dan sebagai anak bungsu, saya kena tinggal dengan emak.

“Mel juga mula pandai memasak dan saya anggap kemahirannya sudah tinggi. Dia boleh buat ayam masak kicap dengan sedap,” kata Wan.

Ditanya mengenai perancangan berbulan madu, mereka memilih New Zealand, tetapi masih menunggu tarikh dan masa sesuai berikutan komitmen terhadap kumpulan masing-masing.

“6ixth Sense dan Sakura Band akan sibuk dengan rakaman album baru yang dijangka keluar tahun depan. Kami tiada perancangan untuk bergabung, cuma lagu ciptaan saya akan dinyanyikan Mell untuk kumpulannya.

“Insya-Allah kami ada perancangan untuk projek khas. Lagipun, sebelum ini Sakura Band bernaung di bawah produksi 6ixth Sense,” kata Wan.

Berkenaan anak, Mell merancang untuk mendapatkannya selepas setahun berkahwin.

“Bagaimanapun, sekiranya rezeki datang lebih awal, semestinya kami terima dengan hati terbuka,” kata Mell yang memaklumkan Wan mahukan lima anak.

Tiada lagi imej pelik

Tidak terkecuali, pasangan ini juga mengelakkan penampilan berlebihan terutama ketika bersama Sakura Band.

Apatah lagi, Mell pernah berdepan kecaman apabila mewarnakan rambut yang disamakan dengan karakter Chucky.

“Kami sudah cipta imej baru untuk saya. Begitu juga dengan persembahan pentas apabila saya akan tampil dengan imej berbeza.

“Lagipun, Sakura Band tampil dengan album baru dan perubahan yang dibuat mestilah merangkumi semuanya,” kata Mell.

Wan pula tidak mahu isterinya tampil dengan imej pelik kerana mahu menjaga sensitiviti masyarakat.

“Sakura Band pun sudah dewasa dan biarlah mereka tampil dengan imej matang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 3:51 AM