ISQANDAR mengucup tangan sahabat baiknya Wan. FOTO Ihsan Isqandar Sukri
ISQANDAR mengucup tangan sahabat baiknya Wan. FOTO Ihsan Isqandar Sukri
Redzuan Muharam

Kuala Terengganu: "Dia tak sama dengan orang lain, dia baik, dia pendengar. Dialah segalanya untuk aku, kan aku janji dengan mu (kamu) Wan? Masa mu sakit, aku ada sebelah mu sampai mu sihat, aku dah buktikan dah Wan."

Itu luahan Isqandar Sukri, 18, terhadap rakan baiknya, Hazwan Zulaizan, 18, atau mesra disapa Wan dalam satu coretan yang dimuat naik di TikTok.

Isqandar ibarat sahabat kiriman Tuhan kerana tetap ada dengan Wan di kala susah dan senang.

Kesetiaan Isqandar dapat dilihat menerusi video dimuat naiknya di TikTok yang menunjukkannya menemani Wan yang terlantar sakit di katil.

Menerusi satu hantaran video, Isqandar dilihat mencium tangan sahabatnya itu hingga meruntun hati warganet.

Berkongsi kisah itu, Isqandar yang juga pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu berkata, dia sudah berkawan dengan Wan sejak 14 tahun lalu iaitu ketika mereka masih kecil.

Menurutnya, persahabatan terjalin kekal sehingga mereka dewasa dan kerana itu, dia sedih melihat keadaan Wan yang terlantar selepas terbabit dalam kemalangan pada 12 Januari lalu.

GAMBAR kenangan Isqandar (duduk kiri) dan Wan. FOTO Ihsan Isqandar Sukri
GAMBAR kenangan Isqandar (duduk kiri) dan Wan. FOTO Ihsan Isqandar Sukri

"Saya dan Wan menunggang motosikal berasingan. Ditakdirkan, motosikal ditunggang Wan bertembung dengan motosikal lain dan kejadian itu berlaku di depan mata saya kira-kira jam 1 pagi.

"Selepas kejadian itu, dua bulan Wan tak boleh bergerak dan tak boleh bercakap. Dia boleh bercakap dan ada suara pun selepas menjalani pembedahan kerana kesan pendarahan dalam kepala.

"Sedih sangat tengok keadaannya kerana saya masih ingat lagi tengah malam sebelum kejadian dia boleh bergurau namun segalanya berubah selepas kemalangan," katanya dihubungi Harian Metro.

Isqandar berkata, dia tinggal di asrama, jadi pada hujung minggu saja ada masa untuk menziarahi Wan.

Dia berkata, sudah menjadi rutin wajibnya kerana mahu meluangkan masa bersama rakan baiknya itu.

"Waktu Wan di hospital dulu pun saya tetap cari masa untuk melawatnya kerana mahu ada dengannya dan bagi dia semangat.

"Lagipun, Wan banyak tolong saya waktu dia sihat dulu dan tak pernah dengar benda buruk mengenainya kerana dia bukan jenis suka sakitkan hati orang.

"Cuma Wan diuji selepas kemalangan itu dan keadaannya sekarang masih terlantar namun sudah boleh berborak dengan saya.

"Banyak perubahan positif cuma Wan belum boleh berjalan kerana badannya masih lemah namun saya akan terus berdoa semoga Wan kembali sihat seperti dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 7:05 AM