kumpulan The Gadys
kumpulan The Gadys
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Anggota kumpulan The Gadys, Nelissa Nizam memaklumkan mereka kini giat berlatih untuk memantapkan vokal dan persembahan.

Nelissa atau Nel, yang juga pelakon berkata, mereka bergerak dengan baik dan akan tampil dengan single sulung pada bulan ini.

"Boleh dikatakan kami berada di landasan yang betul sekarang kerana sudah dikenali dan mempunyai peminat.

"Setakat ini, The Gadys hanya tampil dengan pre debut Gadys Raya ciptaan Romeo, Glow Rush, Nick Ariff dan Acap Salim.

"Agak mengejutkan apabila kami berjaya meraih 2 juta tanda suka di TikTok, manakala video di YouTube mencatat 514,000 tontonan," katanya.

Menurutnya, untuk kumpulan yang baru hendak menapak dan belum dikenali, ia satu perkembangan positif dan dinantikan mereka.

Selain Nelissa, The Gadys turut dianggotai oleh Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini.

Keempat-empat mereka adalah kenalan dan rakan di bidang lakonan dan ada di antaranya adalah rakan satu universiti. Hubungan mereka menjadi akrab selepas program game show yang dikenali sebagai The Next My Star pada 2020.

Lagu Gadys Raya sebelum ini dimuatkan di semua platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan Deezer serta muzik video di YouTube The Gadys.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 12:58 PM