Kuala Lumpur: Filem terbaru terbitan Marvel Studios, Thor : Love and Thunder tidak akan ditayangkan di Malaysia.

Pawagam GSC dalam satu hantaran di media sosial mengesahkan filem lakonan Chris Hemsworth itu tidak akan ditayangkan di negara ini.

Mereka turut memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang sentiasa menyokong mereka.

"Kami ingin maklumkan bahawa pihak Disney sudah mengesahkan bahawa filem Thor: Love and Thunder tidak akan ditayangkan di Malaysia. Kami menghargai kesabaran anda dan memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Teruskan membeli cenderahati kami," tulisnya.

Sementara itu, pawagam TGV pula memuat naik hantaran yang diselitkan dengan emosi kesedihan di Instagram mereka.

"Sorry gais (minta maaf semua)," yang disertakan dengan emotikon sedih serta judul filem itu yang dipotong dengan garisan.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Disney Malaysia tidak berjaya. Pihak berkenaan juga belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai punca pembatalan tayangan filem itu.

Thor : Love and Thunder sepatutnya ditayang di negara ini mulai 7 Julai lalu. Bagaimanapun, tayangannya ditunda ke 21 Julai.

Pada 13 Julai, GSC mengumumkan filem berkenaan ditunda lagi ke tarikh yang lain, namun tidak dinyatakan sebabnya.

Selain Hemsworth, filem arahan Taika Waititi ini turut menampilkan lakonan Natalie Portman, Christian Bale dan Russell Crowe.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 1:44 PM