Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Komposer muda Chevy Amry berbesar hati apabila pemain gitar terkenal, Kid Search memainkan semula lagu ciptaannya untuk Datuk Hattan berjudul Lambaian dalam bentuk instrumental.

Menurutnya, lagu yang ditulis liriknya oleh Datuk Habsah Hassan ini adalah penghormatan buat isteri Kid, Allahyarham Noraznin Yusuf.

"Kid sebak ketika membaca lirik Lambaian kerana setiap bait lirik itu sangat relevan dengan situasinya ketika itu yang sedang diuji dengan penyakit kanser isteri kesayangannya.

"Dia amat meminati lagu ini yang baginya kuat dari sudut melodi vokal dan susunan muzik. Lambaian mempunyai "sentimental value'' bagi Kid kerana setiap kali mendengar lagunya, dia akan terbayangkan arwah isterinya.

"Dalam kesibukan Kid berulang-alik ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) setiap hari, dia masih sempat menyiapkan rakaman gitar lagu Lambaian.

"Namun, dalam beberapa jam selepas itu, dia dikejutkan dengan berita kematian isterinya pada Subuh keesokannya," katanya.

Chevy Amry berkata, Allahyarham Noraznin sempat mendengar demo lagu Lambaian beberapa hari sebelum pemergiannya.

"Sebagai pendokong kuat karier suaminya, arwah dengan sendirinya tahu itu adalah petikan gitar Kid dan sangat menyukai lagu ini.

"Pada suatu malam ketika dalam kesedihan merindukan Kak Nin (Noraznin), Kid secara spontan (dengan mata terpejam) merakamkan versi instrumental Lambaian. "Note-note yang terhasil itu adalah ikhlas dari jiwanya.

Ramai yang tersentuh dan menangis ketika mendengar Kid memainkan lagu instrumental Lambaian secara langsung di Rooftop Campbell ketika sesi soundcheck Konsert Search Rockin' On Rooftop pada 10 Jun," katanya.

Ia menjadi bukti bahawa Kid adalah gitaris yang penuh jiwa serta ikhlas dalam berkarya.

"Kita semua seakan merasainya apabila setiap solo Kid seolah-olah ada cerita yang ingin disampaikan dan menusuk ke jiwa pendengar.

"Sama-sama kita mendoakan semoga arwah Kak Nin sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Al-Fatihah," kata Chevy Amri.

Dalam pada itu, Chevy Amri turut gembira apabila lagu Lambaian nyanyian Datuk Hattan yang dikeluarkan pada April lalu semakin mendapat tempat di hati pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 1:01 PM