AC Mizal (kiri) dan Dinesh menandatangani memorandum perjanjian pada satu majlis khas hari ini
AC Mizal (kiri) dan Dinesh menandatangani memorandum perjanjian pada satu majlis khas hari ini
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Rangkaian televisyen tempatan SUKE TV menandatangani memorandum perjanjian bersama platform penstriman, iQIYI bagi menyiarkan kandungan SUKE TV secara eksklusif di platform terbabit.

Menurut Pengerusi SUKE TV, Datuk AC Mizal, melalui kerjasama terbabit SUKE TV menjadi satu-satunya saluran TV di Malaysia yang memiliki 'tab' khusus di platform iQIYI.

"SUKE TV sangat berbangga dengan kerjasama ini dan prospek perkembangan di luar Malaysia melalui perjanjian ini. Kerjasama ini terjalin pada masa yang tepat, dengan pertumbuhan perkhidmatan penyiaran selepas pandemik yang menghasilkan kepelbagaian kandungan merentas pelbagai genre.

"Saya yakin melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menggunakan teknologi dan kepakaran mereka untuk menghasilkan kandungan yang relevan dan lebih menarik untuk penonton. Ini adalah permulaan era baharu untuk SUKE TV, dan kami berharap untuk terus membangun dan mempelbagaikan tawaran kandungan kami dengan iQIYI.

"Antara kandungan terbitan SUKE TV yang boleh distrim di platform iQIYI termasuk rancangan drama bersiri Polkadot, Berita Latah, Tanya Je, Tomey Tomey, DAC PM YOU, DurianKimchi, Makan Tepi Lori, Pin Pin Sapa Tu?, Listen Up, dan Odah Billionaire," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, perjanjian eksklusif selama setahun dengan SUKE TV ini dapat mengukuhkan matlamat bersama kedua-dua pihak untuk menyediakan kandungan tempatan yang berkualiti tinggi serta mempamerkan hiburan Malaysia terbaik kepada penonton.

"iQIYI ialah aplikasi penstriman video nombor satu paling banyak dimuat turun di Malaysia pada 2021 dengan lebih 10 juta muat turun. Ia juga perkhidmatan penstriman yang paling pesat berkembang di negara ini dengan pertumbuhan asas pengguna sebanyak 15 kali ganda dalam tempoh dua tahun.

"iQIYI sangat teruja untuk bekerjasama dengan SUKE TV, dan kami nantikan kandungan terkini dan menarik yang akan dibawa melalui jalinan ini di platform iQIYI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 5:47 PM