Selebriti, Ustazah Nor Farhatul Faizurah. FOTO Azhar Ramli
Selebriti, Ustazah Nor Farhatul Faizurah. FOTO Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Terbabit dengan program bercorak dakwah dan pembelajaran Al-Quran tidak bermakna Nor Farhatul Fairuzah Panut, 22, terlepas dari kecaman warganet serta usikan individu nakal.

Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 yang juga personaliti TV ini tidak menafikan sering mendapat komen positif dan negatif ketika sedang bersiaran langsung di Instagram mahupun TikTok.

"Perkara ini sebenarnya umum. Saya terima apa yang orang cakap kerana itu pendapat masing-masing. Tapi apa yang saya pegang ialah apa benda baik yang kita buat, kita kongsi saja.

"Macam komen-komen negatif pun saya baca juga dan balas jika perlu untuk perbaiki diri. Kalau dari segi puji-pujian memang banyak.

"Kadangkala ada yang terlampau puji dan saya cakap semuanya dari Allah dan pinjaman sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang lebih mesra dengan panggilan Farha, dia risau apabila segelintir lelaki cuba menggodanya.

"Tapi setakat ini saya biarkan dan tak balas. Ada juga yang mesej secara personal dan saya akan tengok dulu siapa individu terbabit.

"Yang melampau, yang ajak kahwin pun ada dan saya ambil pendekatan abaikan. Kalau dilayan memang menjadi-jadilah mereka.

"Saya sebagai anak bongsu daripada lima adik beradik memang dipantau oleh keluarga. Kalau hujung minggu saya nak keluar mereka pasti akan tanya nak ke mana," katanya.

Farha berkata, sebelum ini dia seorang yang pendiam, namun demi kariernya sekarang dia perlu berani tampil ke depan.

Dia yang sering terbabit dengan program terbitan Astro Qasis dan TV AlHijrah kini pelajar Tahun Dua, Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 12:22 PM