Nor Farhatul Faizurah. FOTO Azhar Ramli
Nor Farhatul Faizurah. FOTO Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 yang juga personaliti TV, Nor Farhatul Fairuzah Panut, menjelaskan dia tidak terbuai dan leka dengan populariti yang dikecapinya sekarang.

Nur Farhatul Fairuzah, 22, atau Farha berkata, dia sebaliknya selesa mengajak semua pihak termasuk golongan kanak-kanak mencintai Al-Quran.

"Latar belakang saya alhamdulillah... kerana arwah ayah dan ibu qari dan qariah. Jadi saya memang fokus pada bacaan Al-Quran dan cuba untuk dikongsikan lagi ilmu-ilmu Al-Quran.

"Kadang-kadang saya pun ada menyanyi cover lagu Arab dan Islamik. Ada yang minta saya buat live dan sekarang saya ada juga buat kelas Al-Quran secara dalam talian dan akan datang secara fizikal.

"Malah ada juga orang dari luar negara yang sertai sesi secara langsung yang dibuat secara dalam talian," katanya yang ditemui pada sidang media kumpulan UNIC hari ini.

Farha yang aktif di medium TikTok, Instagram dan Facebook memaklumkan, dia memang suka berkongsi video mengaji, membaca Al Quran dan bernasyid di medium terbabit kerana suka bernasyid sejak di bangku sekolah menengah.

"Ketika itu orang tak kisah sangat. Tapi tiba-tiba saya menang dan dapat perhatian dari semua yang mengikuti perkembangan saya.

"Bagi saya benda ini bukan suka-suka untuk hebohkan tapi ia tanggungjawab saya kerana apabila ada pengikut yang ramai semua orang akan tengok benda ini secara baik dan buruk.

"Bagi saya itu rezeki dan tanggungjawab untuk kita kongsi ilmu agama kepada orang lain," katanya.

Farha yang sering terbabit dengan program terbitan Astro Qasis dan TV AlHijrah tidak menafikan turut berdepan segelintir pihak yang tidak menyukainya.

"Macam saya sendiri tidak lari dari situasi ini. Ada yang suka dan tidak tapi saya ambil yang negatif sebagai perkara positif untuk saya tambah baik lagi diri saya agar lebih baik. "Dari segi keluarga saya pula alhamdulillah mereka support saya sepenuhnya dalam bidang ini," katanya yang juga anak bongsu dari lima adik beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 8:14 PM