AISHA Retno. FOTO Nabila Adlina
AISHA Retno. FOTO Nabila Adlina
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi, Aisha Retno mengambil keputusan untuk berehat seketika dari lakonan bagi memberi perhatian terhadap karier nyanyian.

Aisha, 23, atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam yang membintangi drama bersiri Gadis Muzikal di TV3 berkata, dia hanya akan aktif semula berlakon tahun depan.

"Saya nak fokus semula kepada nyanyian di mana fokusnya agak berbelah bahagi semasa saya berlakon. Sebabnya saya sekarang dalam proses menyiapkan album dan beberapa tawaran persembahan tahun ini.

"Jadi saya dan pasukan tetapkan untuk fokus dulu dalam nyanyian dan juga kalau ada rezeki kita akan bertemu dalam bidang lakonan tahun depan.

"Apapun tak dinafikan lakonan juga salah satu cabang untuk perkenalkan nama saya kepada peminat. Ada yang tak tahu saya boleh berlakon juga. Saya boleh belajar sikit-sikit dan boleh ekspresi bakat yang ada," katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan berkaitan, Aisha kini menjalin kerjasama dengan naib juara Big Stage 2023, Waode Heni Andraini dari Indonesia.

"Untuk tahun ini, saya terbabit di belakang tabir iaitu hos Backstage untuk Big Stage. Dalam masa sama, saya diberi kepercayaan oleh pasukan Waode untuk buat susunan lagu-lagunya.

"Sepanjang 10 minggu saya buat yang terbaik dan syukur dia dapat tempat kedua. Saya sangat berbangga dengan dia. Kami masih lagi berhubung dan insya-Allah kalau ada rezeki kami nak bekerjasama berdua.

"Lagunya dah ada dan hanya tunggu masa untuk rakaman. Tapi tak boleh buat semua benda pada satu masa. Mungkin perancangan ini berjalan pada tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 1:43 PM