Ali Karimi
Ali Karimi

Kuala Lumpur: "Saya sebenarnya sudah cukup bertuah kerana dapat berada bersama-sama barisan pelakon lain menjayakan filem Mat Kilau untuk menyampaikan mesej perjuangan. Bagi saya, itu yang penting." kata Ali Karimi.

Ali yang juga anak penerbit filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menafikan berasa dipinggirkan selepas wajahnya tidak terpampang pada poster utama bagi mempromosi filem itu.

Katanya yang membawa watak sebagai Brahim dalam filem itu, tujuan dia menyertai produksi berkenaan adalah untuk memupuk semangat kepahlawanan, bukannya untuk meraih publisiti.

"Saya bersyukur. Pasal wajah ada atau tidak dalam medium promosi antaranya poster, saya tidak kisah sangat.

"Sejujurnya sedikit pun saya tidak berasa dipinggirkan malahan saya rasa poster dikeluarkan sebegitu juga sudah cukup menarik untuk memberi impak yang sewajarnya," kata Ali yang tetap berpuas hati walaupun wajahnya sekadar dipamerkan dalam poster khusus untuk karakter yang menjayakan Mat Kilau.

"Memang ada wajah saya pada poster untuk karakter. Itu pun saya sudah bersyukur apatah lagi poster itu secara tidak langsung mula dikongsikan penonton," kata Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 9:22 PM