Khadijah antara penghibur yang mendapat bimbingan Ahmad Nawab.
Khadijah antara penghibur yang mendapat bimbingan Ahmad Nawab.
Oleh Norhayati Nordin


Sebagai memperingati dan meraikan sambutan Hari Seniman pada 29 Mei setiap tahun, pelbagai program menarik disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk tatapan penonton berkaitan perkembangan industri seni tanah air.

Salah satu daripadanya program dokumentari mengenai sumbangan besar seniman negara yang juga komposer terkenal, Datuk Dr Ahmad Nawab.

Dokumentari berjudul Legenda Datuk Dr Ahmad Nawab itu akan disiarkan RTM mulai 7 Mei ini, setiap Khamis, jam 2 petang di TV2.

Dihoskan pelakon dan pelawak, Imuda, dokumentari istimewa ini buat julung kalinya diterbitkan secara visual dan rancangan TV mengenai sumbangan Ahmad Nawab.

Meskipun banyak pihak pernah menghasilkan dokumentari khas Ahmad Nawab, tetapi sebelum ini ia diterbitkan dalam bentuk jurnal mahupun buku.

Apapun, menariknya program ini apabila sisi peribadi Ahmad Nawab dikongsikan sendiri oleh insan paling dekat dan memahami tokoh muzik negara itu yang pastinya anak beliau, Nasir Ahmad Nawab.

Diterbitkan sebanyak enam episod, dokumentari ini diharapkan menjadi penggalak kepada penggiat muda dan mereka yang meminati muzik tempatan untuk gigih berkarya.

Menariknya lagi perjalanan kisah dokumentari ini apabila ia turut menghimpunkan barisan artis atau penyanyi yang pernah bekerja dengan peniup saksofon ternama tanah air itu.

Antara artis popular sepanjang zaman yang terbabit dalam pembikinan program ini ialah Datuk Khadijah Ibrahim, Siti Fairuz, Shidee, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Salamiah Hassan.

Program turut menyelitkan unsur hiburan itu memuatkan juga satu segmen diwujudkan Ahmad Nawab bermain saksofon dan artis undangan menyanyikan lagu ciptaannya yang berjaya ­menjulang nama mereka dalam industri muzik tempatan.

Dimuatkan dengan tiga segmen yang masing-masing berkesinambungan setiap satu. Dalam salah satu segmen itu, penonton turut berpeluang menyaksikan pandangan artis yang pernah bekerja dengan Ahmad Nawab.

Apapun, yang pasti program ini mampu menjadi bahan rujukan buat pencinta seni yang mahu mengetahui perkembangan industri muzik tempatan dari setahun ke setahun, terutama zaman kegemilangan industri muzik Melayu yang kekal bertahan hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 12:33 PM