Jamal (kanan) bersama  S Atan.
Jamal (kanan) bersama S Atan.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Datuk Jamal Abdillah, 63, mengakui beliau lebih takut bekerja dengan komposer, S Atan berbanding seorang lagi komposer senior berkaliber tanah air, Datuk Seri Dr Ahmad Nawab.

Jamal berkata, perasaan itu lebih kepada menghormati cara bekerja S Atan yang baginya begitu komited dan sangat teliti ketika melakukan proses rakaman lagu ciptaannya.

"Saya takut itu sebab bimbang ada membuat silap. Dia (S Atan) bukan seorang yang garang atau suka marah-marah, tapi saya yang secara sendiri berasa tidak tenang hati dan takut ketika bekerja dengannya.

"Kalau dengan Ahmad Nawab, saya boleh lagi bergurau-gurau. Tapi, dengan S Atan ini, saya kena betul-betul pastikan nyanyian dapat disampaikan dengan baik, sepenuh jiwa dan rasa," katanya pernah merakam lagu raya, Salam Aidilfitri ciptaan S Atan sebelum ini.

Pada Aidilfitri kali ini Jamal muncul dengan lagu raya terbaharu, Rindu Di Hari Lebaran ciptaan S Atan dan lirik oleh Siso.

Katanya, lagu itu memang diminta daripada S Atan untuk menghasilkannya.

Menurut Jamal, lagu raya ini perlu ada jiwa Melayu dan kena dengan pengalaman menggamit memori yang berkaitan dengan suasana kampung, ahli keluarga berkumpul dan bermaaf-maafan bersama-sama.

Katanya, ia satu tradisi warisan kita.

Terdahulu, S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said , 74, disifatkan sebagai 'Bapa Lagu Raya' kerana sudah menghasilkan banyak lagu raya 'evergreen' atau malar hijau sehingga kini.

Antaranya Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Balik Kampung nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid), Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone) dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 5:04 PM