Dr Ahmad Ibrahim
Dr Ahmad Ibrahim
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menjalinkan kerjasama dengan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) bagi berkongsi kepakaran, kemahiran dan peralatan dalam bidang teknologi multimedia.

Ia juga bertujuan membangunkan video pengajaran dan pembelajaran digital.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim berkata, kerjasama ini turut merangkumi berkongsi pengalaman berkaitan ilmu perfileman dan teknologi multimedia di lapangan kerja dalam menjalankan aktiviti penggambaran dan pembangunan industri kreatif.

"Usaha ini penting dalam meningkatkan peluang kerjaya kepada pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan memberi latihan berasaskan industri kreatif menggunakan fasiliti di kedua-dua institusi. Malah, ia juga berkongsi jaringan rangkaian media untuk tujuan mempromosikan aktiviti FDAM dan PSA," katanya.

Menurutnya, satu perjanjian kolaborasi strategik iaitu Sijil Kerjasama atau 'Certificate of Collaboration' (CoC) antara FDAM dengan PSA turut diadakan di PSA, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

"FDAM bersama PSA akan menawarkan kursus bagi mengembangkan bakat pelajar dalam bidang berkaitan di bawah kelab kokurikulum selain memberi khidmat sebagai mentor dan penasihat jemputan kepada penilaian pelajar sekiranya diperlukan.

"PSA berkolaborasi sebagai penganjur bersama (co-organizer) dalam aktiviti atau program yang berkaitan termasuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan mereka akan membantu mengendalikan program, seminar, simposium atau aktiviti yang berkaitan di dalam bahasa Inggeris," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 3:58 PM