ABDUL Rahim (tiga dari kiri) melihat Multipurpose Smoke Machine pada majlis penyerahan produk PPRN.
ABDUL Rahim (tiga dari kiri) melihat Multipurpose Smoke Machine pada majlis penyerahan produk PPRN.

Shah Alam: Kepakaran pensyarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menghasilkan pelbagai mesin untuk kegunaan penguasa tempatan dan industri kecil sederhana (IKS) wajar dipuji.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Politeknik (PPIP) Jabatan Pendidikan Politeknik, Dr Abdul Rahim Ahmad berkata, penyertaan politeknik dalam program Public Private Research Network (PPRN) dapat mempromosikan produk inovasi dihasilkan pensyarah atau penyelidik PSA.

“Pelaksanaan dan penyelidikan inovasi dalam penghasilan produk berjaya diaplikasikan kepada industri dan masyarakat.

“Ia sekali gus dapat meningkatkan perpindahan maklumat dan perkongsian ilmu dalam kalangan pihak industri dan penyelidik, selain mempromosikan produk PPRN kepada pembeli berpotensi,” katanya pada majlis penyerahan produk PPRN di PSA, di sini, semalam.

Menurut beliau, 15 mesin berasaskan industri makanan dengan pelbagai jenis dihasilkan di bawah 16 geran PPRN yang diterima politeknik itu sejak tahun lalu.

“Pada 2015, PSA menghasilkan tujuh mesin PPRN dan ia sudah diserahkan kepada pemilik industri.

Manakala, pada pertengahan Februari lalu, empat mesin lagi diserahkan kepada usahawan di Gopeng, Perak.

“Kini, empat produk PPRN yang terakhir diserahkan kepada pemilik industri iaitu mesin karipap, mesin pengadun bahan cat, mesin krim dan mesin salai daging dan ikan,” katanya.

Kata Abdul Rahim, usahawan perlu menghantar penyertaan untuk membentangkan permasalahan teknologi atau bidang yang berpontensi meningkatkan produktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 5:05 AM