PSA sudah mencapai imuniti kelompok, sebahagian kakitangan lengkap divaksin. FOTO Ihsan PSA
PSA sudah mencapai imuniti kelompok, sebahagian kakitangan lengkap divaksin. FOTO Ihsan PSA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) mencapai imuniti kelompok dengan 100 peratus atau 411 kakitangan akademik dan bukan akademiknya menerima vaksinasi Covid-19.

Pengarah PSA Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, sejumlah 98.8 peratus daripada 3,069 pelajarnya turut menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Keseluruhan, 97.57 peratus kakitangan sudah lengkap menerima dua dos vaksin, manakala pelajar pula 86.71 peratus (terima dua dos).

"Ini sekali gus menjadikan PSA mencapai imuniti kelompok dan bersedia menerima kemasukan pelajar ke kampus bermula 15 Oktober ini.

"Kejayaan ini juga hasil kerjasama erat dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Petaling di samping kesedaran kakitangan dan pelajar sendiri untuk mendapatkan vaksinasi," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Zahari berkata, PSA melalui Jawatankuasa Pengurusan Krisis Covid-19 (PSA CCM Team) giat menjalankan pelbagai usaha untuk mencapai imuniti kelompok supaya kampus itu selamat untuk pembelajaran bersemuka.

"Mengenai vaksinasi, pensyarah mengambil inisiatif menghubungi pelajar bagi memastikan data pelajar dilengkapkan bagi memudahkan pemantauan dan perekodan, namun kita tidak memaksa pelajar," katanya yang juga Pengerusi PSA CCM Team.

Beliau berharap, penuntut PSA bersedia kembali ke kampus dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu.

Untuk rekod, PSA turut dilantik sebagai penyelaras peringkat Selangor bagi program vaksinasi politeknik dan kolej komuniti membabitkan 11 institusi dalam usaha menyasarkan 100 peratus kakitangan dan pelajar di vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 9:35 AM