Marsila Hassan
Marsila Hassan
Ridzuan Abdul Rahman


   Kuala Lumpur: "Saya terima sebab saya pernah beritahu bekerja di radio adalah salah satu impian saya," kata penyampai berita TV3, Marsila Hassan yang kini bergelar keluarga baru Buletin FM.  

   Menurutnya, apabila ditawarkan sebagai penyampai tetap di stesen milik Media Prima Audio (MPA) ini, dia berasa rugi jika menolak.

   "Tak dinafikan mulanya rasa takut sebab tak biasa buat radio. Lagipun selalunya kalau baca berita ada prompter. 

   "Apabila jadi penyampai radio, saya kena fikir idea sendiri dan topik sendiri. Nak 'goreng' pun ayat pun sendiri. Semuanya kena sendiri.

   "Tapi kalau fikir takut sampai bila pun perkara ini tak selesai. Nak tak nak kena cuba juga," katanya kepada Harian Metro. 

   Marsila berkata, ini kali kedua dia ditawarkan menyertai Buletin FM selepas tawaran pertama awal tahun ini.

   "Penerbit Buletin FM minta datang uji bakat dan bila dah okey mereka tawarkan secara sambilan. Tapi sebab ada komitmen lain untuk hujung minggu, saya menolak. 

   "Apabila ditawarkan sebagai penyampai sepenuh masa, saya terus terima. Perasaan saya gembira tapi dalam masa sama, Bercampur baur sebab saya bukan seorang yang akan keluar bekerja setiap hari.

   "Selama ini saya hanya pembaca berita sambilan dan seminggu hanya dua, tiga kali bekerja. Tapi dengan radio kena beri komitmen 100 peratus dan bekerja hari-hari dari Isnin hingga Jumaat.

   "Kadangkala saya terfikir betulkah apa yang saya buat? Namun pada masa sama saya fikirkan masa depan juga. Sini ada pendapatan tetap dan kerja sambilan sebagai penambah pendapatan," katanya yang juga pengulas untuk Liga Super Malaysia. 

   Marsila kini hanya akan membaca Buletin Pagi dan Buletin 1.30 (tengahari) pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 12:58 PM