Ramli Sarip menghiburkan peminat. FOTO Aziah Azmee
Ramli Sarip menghiburkan peminat. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Ramli Sarip, 69, lepas 'gian' dan memberikan persembahan bertenaga pada showcase Berbuka Puasa Rasa (Cinta Di Sebalik Musim), di Hotel Royale Chulan, di sini, semalam.

Tampil dengan set kugiran penuh, Ramli menghiburkan lebih 500 tetamu hadir selain sempat berkongsi butiran beberapa lagu yang dimuatkan dalam album penuh baharunya berjudul Rasa.

"Ini adalah hari pelepasan bagi kami sebagai mengharungi perjalanan seni selama dua tahun lebih tidak dapat memberikan persembahan sebegini.

"Saya juga ingin memperkenalkan album penuh saya. Lagu pertama saya Sentosa Di Kubah Hayat adalah berkisar isu Palestin yang sejak dulu bermasalah," katanya.

Pada showcase itu, Ramli mendendangkan lebih 10 lagu termasuk Teratai dan Kamelia.

Berdurasi selama hampir dua jam, majlis disusuli dengan acara beramah mesra dengan peminat sejurus tamat persembahan.

Dianjurkan Mukmin Pay Sdn Bhd dengan sokongan Konsortium IRAMA, acara dimulakan dengan beberapa penyampaian sumbangan.

Ia termasuk sumbangan kepada beberapa penggiat seni yang berdepan ujian seperti sakit dan ditimpa musibah antaranya Bad Indigo, Mak Jah, Khalis Real Spin, Mel Wings, dan Norlia Ghani.

Tidak ketinggalan, penyampaian duit raya kepada dua pusat anak yatim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 1:57 PM