Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Nama Bilal ini cukup dekat di hati semua," kata pendakwah bebas yang juga selebriti Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 27, berkenaan pemilihan nama anak sulung hasil perkahwinan dengan Neelofa iaitu Muhammad Bilal yang kini berusia tiga bulan.

PU Riz berkata, nama itu juga jarang dipanggil dengan ringkas seperti 'Lal'.

"Apabila banyak diundang untuk memberikan ceramah, cerita mengenai Bilal (Bilal bin Rabah) ini memang betul-betul terkesan di hati. Kalau boleh saya ceritakan secara ringkaslah, pertama, dia orang yang berpegang benar kepada prinsip. Kalimah Allah SWT tidak dibuat main sehingga dia sakit dan hampir mati, tak buat main.

"Kedua, dalam sebuah hadis walaupun ia ada sedikit keraguan, siapa yang menjadi bilal untuk beberapa tahun, dia akan masuk syurga tanpa dihisab sebab dia seru orang sembahyang setiap hari.

"Ketiga, bilal ini juga seorang insan yang mana dia berjalan di dunia, Nabi kata aku sudah dengar tapak kaki kau di syurga. Subhanallah.

"Jadi sempena dengan berkat nama Bilal ini, kita berdoa malah kepada semua orang semoga anak ini dapat ambil berkat nama ini. Insya-Allah. Selain itu, saya pun kalau boleh biarlah nama itu dipanggil secara penuh. Bilal ini jarang orang panggil 'Lal'," katanya.

Sementara itu, Neelofa berkata, pemilihan nama Muhammad Bilal itu dilakukan atas sepakatnya bersama suami.

"Mengenai nama anak ini, kita banyak berbincang. Misalnya mahu nama itu dan ini. Kami ada cadangkan beberapa nama. Suatu hari, Haris berikan saya senarai nama anak yang sudah disenarai pendek. "Kemudian saya beritahunya suka nama Bilal. Cuma waktu itu, Haris ada sebut, kalau boleh biarlah pemilihan nama itu boleh diceritakan kepada anak nanti," katanya.

Neelofa dan PU Riz berkahwin pada Mac tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal, Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 9:12 AM