Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Anzalna Nasir belum bersedia untuk berkongsi jantina anak keduanya meskipun usia kehamilan sudah mencecah lapan bulan.

Anzalna berkata, dia sengaja merahsiakannya kerana mahu memberi kejutan kepada keluarga dan rakan terdekatnya.

"Alhamdulillah kandungan sudah memasuki lapan bulan. Saya tiada niat nak rahsiakan kandungan kedua ini tapi saya menunggu waktu yang tepat sebelum berkongsi kepada umum.

"Sejujurnya saya sudah tahu jantina anak dalam kandungan tapi saya rahsiakan untuk memberi kejutan kepada keluarga dan teman-teman rapat," katanya.

Menurut Anzalna, anak sulungnya, Eidrees antara yang teruja menantikan kehadiran adiknya tidak lama lagi.

"Eidrees sudah faham yang dia bakal mendapat adik. Saya harap Eidrees dapat jadi abang yang baik.

"Suami pula sejak tahu saya hamil dia tak bagi saya bekerja. Kalau boleh nak saya duduk di rumah tetapi saya agak degil. Selepas saya pujuk, dia memberikan kebenaran untuk saya menjayakan beberapa kempen.

"Saya tak sangka selepas bertudung dan hamil anak kedua, banyak rezeki masuk. Tetapi saya memilih mengikut kesesuaian dan menerima tawaran yang benar-benar berbaloi," katanya yang bakal menyambut kelahiran anak kedua pada bulan Syawal akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 4:56 PM