Sudirman Mohd Tahir

TANGGAL 31 Mei lalu genap setahun usia anak kepada pelakon, Anzalna Nasir iaitu Mohamad Eidrees.

Anzalna, 32, atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir berkata, detik ketika disahkan hamil menjadi saat yang tidak dapat dilupakan
sehingga sekarang.

Apatah lagi khabar gembira itu diterima selepas tiga tahun berkahwin dengan suami, Hanif Zaki.

"Saya mengambil masa hampir tiga tahun untuk hamil. Ketika saya mengetahui hamil dan bakal dikurniakan anak lelaki, ia adalah perasaan paling nyata yang pernah saya rasakan.

"Memang saya dan suami mahukan anak lelaki. Alhamdulillah, kehamilan saya dipermudahkan dan selamat bersalin beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitrti tahun lalu.

EIDREES kini berusia setahun.
EIDREES kini berusia setahun.

"Disebabkan itu kami menamakan anak dengan Eidrees. Ketika itu ia detik yang tidak dapat dilupakan. Setiap hari saya seronok melihatnya membesar depan mata, katanya.

Menurut Anzalna, tempoh setahun dirasakan terlalu cepat. Namun, setiap masa yang dilalui bersama anak adalah detik indah yang takkan pernah dilupakan.

"Saya macam tak percaya sudah setahun berlalu dan anak pun sudah berusia setahun. Terlalu cepat masa berlalu, katanya.

Sementara itu, Hanif berkata, dia bangga melihat anaknya membesar dengan cepat banyak perkara.

"Ketika kami mendapat tahu anak dalam kandungan adalah lelaki, saya membayangkan kehidupan dicat dengan semua warna biru, dipenuhi dengan jentera bomba, kereta dan kekacauan. Semua benda budak. Apabila dia membesar, dia tidak menunjukkan minat yang tinggi terhadap kereta, tetapi menyukai apa sahaja dengan butang.

KEHADIRAN Eidrees menyempurnakan lagi hidup Anzalna dan Hanif.
KEHADIRAN Eidrees menyempurnakan lagi hidup Anzalna dan Hanif.

"Malah, tahun terakhir ini dipenuhi dengan saat gembira dan mencabar. Melihat dia membesar dan belajar setiap hari membuatkan saya bangga dengan dia. Apabila dapat merasai semua pengalaman pertama dengan dia adalah salah satu detik terbaik dalam perjalanan hidup kami, katanya.

Hanif juga menyifatkan kehadiran Eidrees melengkapkan lagi hidup mereka sebagai suami isteri.

"Senyuman pertama, ketawa, percakapan, makanan, tarian, merangkak dan berjalan, itu semua adalah bahagian daripada proses perjalanan ke usia kanak-kanak.

"Kehadiran Eidrees menyempurnakan lagi kehidupan kami sebagai suami isteri. Kehadiran anak juga menjadikan tahun pertama kebapaan saya lebih baik daripada yang saya bayangkan.

"Tidak kira apa berlaku di mana sahaja, cinta yang saya miliki untuk dia akan sentiasa berterusan. Saya bersyukur atas kurniaan Allah dalam perjalanan menjadi bapa, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 6:30 AM