ANZALNA akui ada beberapa perubahan pada dirinya antaranya rajin menghias diri. FOTO: Azhar Ramli
ANZALNA akui ada beberapa perubahan pada dirinya antaranya rajin menghias diri. FOTO: Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman

BERGELAR selebriti tidak bermakna perlu berkongsi semua cerita peribadi dengan masyarakat. Pendekatan ini diamalkan pelakon cantik, Anzalna Nasir apabila memilih merahsiakan jantina bayinya.

Bukan saja enggan mendedahkan jantina bayi kepada peminat, bahkan Anzalna yang kini hamil enam bulan enggan mendedahkan kepada keluarganya sendiri.

“Hanya saya dan suami, Hanif tahu jantina bayi kami. Saya sebenarnya suka buat kejutan kepada semua. Ketika awal kehamilan pun saya buat kejutan kepada keluarga dan peminat. Sebenarnya saya merahsiakannya untuk suka-suka.

“Saya boleh beritahu mengenai jantina bayi kami tapi elemen kejutan itu lebih seronok untuk tengok reaksi semua orang,” katanya.

Tidak mahu membiarkan peminat terus berteka-teki, Anzalna yang kini bergelar duta eksklusif NR bercadang mengadakan majlis kenduri doa selamat serta melenggang perut dan mendedahkan jantina anaknya pada majlis itu nanti.

Seperti wanita hamil lain, Anzalna mengakui ada beberapa perubahan pada dirinya antaranya rajin menghias diri.

“Suami selalu pesan agar berehat tapi saya pula rajin nak ke majlis yang diadakan. Sebelum ini saya seorang yang ringkas dalam bergaya namun sejak hamil semakin suka pakai bulu mata dan kanta lekap.

“Saya juga suka mencantikkan diri. Walaupun di rumah, saya akan jaga penampilan,” katanya yang seakan-akan memberi gambaran jantina bayinya.

ANZALNA bersama Pengerusi Kumpulan Syarikat NR, Datin Sharifah Anisah Syed Agil Barakbah dan Ketua Pegawai Eksekutif MISB Resources Sdn Bhd, Syed Hidzir Syed Agil Barakbah pada majlis pengumuman sebagai duta eksklusif.
ANZALNA bersama Pengerusi Kumpulan Syarikat NR, Datin Sharifah Anisah Syed Agil Barakbah dan Ketua Pegawai Eksekutif MISB Resources Sdn Bhd, Syed Hidzir Syed Agil Barakbah pada majlis pengumuman sebagai duta eksklusif.

Pilih berehat

Pelakon siri drama Memori Cinta Suraya ini mengakui tidak berminat mengambil sebarang tawaran berlakon buat masa ini sehinggalah dia bersalin dan bayinya membesar.

“Sudah tentu anak menjadi keutamaan selepas ini. Sebelum mengandung lagi, saya sudah berehat selama setahun.

“Sebenarnya ada tawaran untuk watak hamil tetapi saya tolak. Suami pun tak bagi saya berlakon dalam keadaan begini.

“Setiap hari saya hanya fikir mengenai anak dalam kandungan. Saya dan suami selalu berbual perihal anak,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa berhati-hati dalam pergerakan agar tidak memudaratkan kandungan.

“Nak kata terlalu gembira pun tak boleh juga tapi apa yang boleh dilakukan ialah berdoa agar semuanya dipermudahkan,” katanya.

Ditanya adakah dia terfikir untuk memberikan hak ekslusif kepada mana-mana pihak selepas bayinya selamat dilahirkan, Anzalna berkata perkara itu tidak pernah terlintas di benaknya.

“Saya lebih suka berkongsi kepada umum. Buat masa ini bayi belum lahir dan saya tak nak merancang terlalu banyak perkara.

“Biarlah bayi lahir dulu dan ada depan mata. Daripada situ baru saya akan pertimbangkan apa-apa tawaran yang datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:00 AM