PELAKON tunjuk bakat menyanyi.
PELAKON tunjuk bakat menyanyi.
Riadz Radzi

Selepas mencetus fenomena dengan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang mencatat kutipan RM5 juta selepas tujuh minggu tayangan di saluran Astro First, Mamat Khalid kembali dengan filem terbaharu, Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa.

Lebih menarik, filem yang mula ditayangkan di saluran Astro First sejak 27 Mei lalu turut mencetus fenomena apabila mencatat kutipan RM1 juta dalam tempoh empat hari.

Selain mengekalkan barisan pelakon Kampong Pisang Bersiri-Siri dan 18 Puasa Di Kampong Pisang seperti Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Ellie Suriati, Ahmad Yasin, Afea Deana, Joey Daud, Nazeera Sardi, Avaa Vanja, Yoep Hitler dan Siti Elizad Sharifuddin, Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa turut menampilkan Datuk Awie, Kaka Azraf, Imuda dan Raja Azmi.

Apa yang pasti, Mamat kini tampil dengan pendekatan berbeza dan pertama kali menerapkan konsep muzikal sebagai keistimewaannya.

Siapa sangka, Bell, Nazeera, Mat London dan Dewa Sapri juga mempunyai bakat dalam nyanyian.

Mamat berkata, dia bersyukur apabila filem ini diterima kebanyakan penonton dan turut berterima kasih kepada barisan pelakon, kru dan semua yang terbabit dalam pembikinan filem itu.

"Sokongan padu semua pihak ini menjadi penyuntik semangat untuk saya terus menghasil

kan lebih banyak karya berbeza dan menarik selepas ini," katanya.

Walaupun filem arahannya Rock 4: Rockers Never Dai dan Manap Karaoke sebelum ini dikritik serta mengalami masalah kesihatan, namun Mamat bangkit semula menerusi drama bersiri Kampong Pisang Bersiri-Siri, 18 Puasa Di Kampong Pisang dan terbaharu, Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa.

HUSIN bawa pulang kekasih baharu.
HUSIN bawa pulang kekasih baharu.

Di media sosial, rata-rata peminat berkongsi komen bahawa filem Mamat jarang sekali mengecewakan.

Ada juga berasakan filem muzikal ini menyerikan 'mood' Aidilfitri serta jenaka yang dipersembahkan membawa penonton lari seketika daripada tekanan dan kebosanan.

Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mengisahkan seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti memasak sehari sebelum sambutan Aidilfitri.

Husin (Awie) kembali ke kampung bersama kekasih baharunya, Nelly (Kaka Azraf) sehingga Cik Chun (Nazeera Sardi) cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak.

Barkoba (Bell Ngasri) pula dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang meninggalkannya dulu kerana berkahwin dengan pengurus kilang, manakala Pak Din (Kazar) pula sedih kerana anaknya tiba-tiba tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersamanya.

CIK Purnama kesepian.
CIK Purnama kesepian.

Dalam masa sama, Cik Purnama (Dewa Sapri) membawa beg pakaian dan tilam ke mana-mana kerana kesunyian dan Pak Karim (Mat London) serta Kak Som (Ellie Suriati) sedih kerana ini kali pertama beraya tanpa anak mereka yang sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Daud M (Joey) pula perlu bekerja di malam raya bagi penghantaran barang buat penduduk Kampong Pisang yang membeli barang dalam talian.

Mamat berkata, istimewanya filem ini kerana ia turut menyelitkan kisah cinta dan semangat bermasyarakat di Aidilfitri yang berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu.

"Antaranya nostalgia rumah yang dihias dengan pelita dan kad raya, muafakat antara jiran tetangga ketika menyediakan juadah Aidilfitri, kanak-kanak bermain di malam raya dan banyak lagi," katanya.

Filem ini turut menyajikan 10 lagu raya 'evergreen' dan lagu popular era 1990-an yang dinyanyikan sendiri oleh pelakon Kampong Pisang.

Lagu-lagu itu ialah Cahaya Di Aidifitri (Kazar Saisi,Dewa Sapri, Mok Ram & Nazeera Sardi), Pulang (Joey Daud), Suasana Hari Raya (Yah Kuchei & Aziz M Osman), Doa Di Hari Mulia (Yah Kuchei), Selamat Hari Raya (semua pelakon), Halaman Asmara (Awie & Kaka Azraff), Di Persimpangan Dilema (Nazeera Sardi), Kekasih Awal Dan Akhir (Awie), Belaian Jiwa (Bell Ngasri) dan Pantun Budi (Awie, Mat London, Mok Ram, Ahmad Yassin).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:14 AM