ALI XPDC
ALI XPDC
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC yang ditunda pada 25 Mac ini akan diteruskan tanpa kehadiran Ali sebagai penyanyi utama XPDC.

Penganjurnya Sinio.com dalam satu kenyataan berkata, tempat Ali akan digantikan oleh barisan selebriti sebagai 'tribute' serta pemberi semangat kepada Ali yang kini dirawat di Hospital Ampang selepas ditidurkan akibat mengalami kesukaran bernafas.

"Susulan perkembangan terbaru kesihatan Ali yang masih dalam pemantauan pihak hospital, kami mengambil keputusan untuk memberi ruang kepadanya untuk memastikan tahap kesihatan pulih sepenuhnya.

"Oleh yang demikian, Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC yang ditunda ke tarikh baharu iaitu 25 Mac ini akan diteruskan tanpa kehadiran Ali sebagai penyanyi utama XPDC. Tempat beliau akan digantikan oleh barisan sahabat-sahabat artis yang akan tampil menggantikannya sebagai 'tribute' dan pemberi semangat kepada Ali.

"Mereka akan menyanyikan lagu-lagu popular nyanyian Ali bersama XPDC di konsert itu nanti. Sinio.com akan mengumumkan nama-nama mereka dalam masa terdekat ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sinio.com, sebahagian daripada jualan tiket konsert terbabit juga akan disumbangkan kepada Ali sebagai tanda sokongan dalam mengharungi dugaan ini.

"Pihak Sinio.com ingin mengajak sahabat-sahabat dan peminat-peminat XPDC untuk terus menyokong serta mendoakan Ali segera pulih," katanya.

Tiket Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC boleh didapati di laman web sinio.com dengan harga RM18.

Ali yang dirawat di Hospital Ampang terpaksa ditidurkan kelmarin selepas mengalami kesukaran bernafas.

Terdahulu, Ali dikejarkan ke hospital berkenaan, Jumaat lalu apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 3:55 PM