Zulin dan suaminya, Farhan. FOTO Instagram
Zulin dan suaminya, Farhan. FOTO Instagram
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Nak tunjuk gambar kemesraan bersama suami di media sosial, tiada sebablah. Tapi kita dalam bidang yang sama dan kalau dari segi pemasaran memang ya. Itu saya cakap awal-awal," kata pengacara dan pelakon, Zulin Aziz.

  Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz yang berkahwin dengan Farhan Norzaini pada 20 Februari lalu berkata, apa yang akan diperlihatkan nanti adalah berkaitan kerja dan bukan babak "sweet sweet".

   "Kami bukan jenis begitu. Suami romantik tapi dia bukan jenis nak menunjuk kepada orang. Bila nak buat benda begitu jadi geli.

   "Biarlah kami berdua yang tahu berkenaan hubungan kami. Biarlah hanya berkenaan kerjaya dipaparkan di media sosial," katanya. 

   Dalam pada itu, Zulin mengakui mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan mana-mana komen negatif warganet di media sosialnya.

   "Saya buat begini bagi mengelakkan sebarang isu pada masa akan datang, selain pilih untuk padam komen yang tak sesuai.

   "Saya pun dah ingatkan suami dari awal agar jangan pernah baca komen warganet. Itu sebabnya saya padam.

   "Ada yang kata kenapa perlu padam komen? Bagi saya, kita ada kuasa kawal media sosial kita. Kenapa kita nak biarkan dia (netizen) berbuat demikian dan menjaga hati orang yang komen buruk kepada kita? 

   "Sepatutnya, kita ada hak ke atas platform kita sendiri dan buang benda-benda yang tidak elok supaya tak merebak," katanya.

   Menurutnya kalau seorang berani tinggalkan komen berbaur negatif, akan ada rantaian lain yang akan ditulis lagi di bawah komen berkenaan.    

   "Jadi kita putuskan rantaian itu untuk elak daripada isu terbabit diperbesarkan. Itu virus yang tiada vaksin. Kita kawal dan jangan bimbang. Nampak benda tak elok, terus padam.

   "Jangan nak balas balik kerana dia lagi suka bila dapat perhatian. Kalau betul nak beri nasihat, ada laluan lain yang lebih elok boleh digunakan.

  "Dia memang sengaja. Ada yang sejenis tak ikuti saya lagi pun nak beritahu. Ok "done unfollow" katanya. Tak payahlah beritahu saya kerana saya pun tak kenal dia," katanya. 

   Berkenaan perkembangan terbaharu, Zulin bakal mengerjakan umrah pada Ramadan bersama suami menerusi pakej umrah yang diperkenalkan Syabibah Travel & Tours.

   "Saya memang berada di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah pertama Januari lalu apabila menerima panggilan yang menawarkan peluang ini. 

   "Ketika itu, memang saya berdoa ingin kembali menjadi tetamu Allah. Memang betul doa saya dimakbulkan dengan pantas. Jadi, dengan hati terbuka, saya terus bersetuju," katanya.

   Selain Zulin dan suami, pakej umrah itu turut membabitkan barisan artis lain seperti pelakon Saharul Ridzwan, Bell Ngasri dan Faizal Ismail.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 12:20 PM