Megat Rahim
Megat Rahim
Najiy Jefri

 

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Megat Rahim, 20, yang sepatutnya membuat persembahan pada konsert minggu pertama Big Stage 2022 malam tadi tidak dapat menghadirkan diri kerana disahkan positif Covid-19. 

Megat berkata, dia kini sedang menjalani kuarantin di rumah selepas dijangkiti virus itu sejak 31 Januari lalu. 

"Sepatutnya ini adalah malam yang indah buat saya tapi malangnya dijangkiti Covid-19 selepas menjadi kontak rapat dengan seseorang. 

"Ketika ini saya sedang menjalani kuarantin di rumah dan dijangka potong gelang hari ini (Isnin). 

"Bukan hanya saya seorang, tapi ibu saya, Shahidah Mohd Hashim, 60, turut disahkan positif Covid-19 pada 2 Februari lalu," katanya. 

Menurut Megat, dia mengaku sedih apabila tidak dapat membuat persembahan dan membuktikan kemampuan diri di hadapan juri dan penonton pada konsert minggu pertama. 

"Ketika saya dapat tahu yang saya positif Covid-19, saya akui sangat sedih kerana tidak dapat membuat persembahan pada minggu pertama. 

"Sepatutnya minggu pertama adalah momen indah untuk saya membuktikan kemampuan diri tapi semuanya sudah tertulis dan Insha-Allah saya akan memberikan persembahan terbaik pada minggu kedua nanti," katanya. 

Dalam pada itu, teka-teki mengenai peserta ke-12 Big Stage 2022 terjawab apabila usahawan muda, Ahmad Iqbal Zulkefli diumumkan akan bersaing dengan peserta-peserta program realiti televisyen itu.

Iqbal menyanyikan lagu Bila Bulan Berbicara nyanyian asal Broery Marantika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 8:20 AM