Zaara Talita

Jakarta: Bapa pelakon Vanessa Angel mahu menggali dan memindahkan kubur pelakon itu bersebelahan pusara isterinya bagi menunaikan permintaan terakhir anaknya.

Doddy berkata, biarpun tindakan itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai, namun dia nekad untuk meneruskan hasratnya itu.

"Apa pun yang berlaku, kubur itu harus dipindahkan dan segala risiko perlu diambil. Saya sudah nekad untuk meneruskannya kerana ini adalah wasiat daripada Vanessa sendiri.

"Sebagai bapa, saya mengambil pendekatan untuk menunaikan permintaan Vanessa kerana sudah disuarakan kepada saya sebelum dia meninggal dunia. Malah, keputusan ini juga tidak mendapat tentangan daripada pihak Febri.

"Kata Vanessa, sekiranya sudah tiada nanti dia berharap untuk disatukan berdekatan dengan kubur ibunya. Seperti mana di kampung keluarga disemadikan berdekatan," katanya.

Menurut Doddy dia juga sudah bersedia berhadapan risiko untuk memindahkan kubur anaknya itu.

Hasrat menunaikan wasiat Vanessa tidak dilaksanakan sewaktu pelakon itu meninggal dunia kerana suaminya turut meninggal dunia.

Terdahulu, Vanessa Angel dan suaminya, Febri Andriansyah maut dalam sebuah nahas jalanraya pada 4 November lalu.

Kemalangan yang berlaku di Tol Jakarta-Surabaya, berhampiran kawasan Nganjuk itu turut mengakibatkan kecederaan kecil pada tiga penumpang lain termasuk anak Vanessa iaitu Gala Sky Ardiansyah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 2:18 PM