BARISAN pelakon selain Alonso semuanya wajah baharu.
BARISAN pelakon selain Alonso semuanya wajah baharu.
Georgie Joseph


Selepas siri terbitan Netflix, Money Heist mencipta fenomena dan kejayaan di seluruh dunia, platform penstriman itu bakal muncul dengan 'spin-off' berjudul Berlin pula.

Berlin adalah watak yang cukup menghidupkan siri terbabit.

Pada sidang media berlangsung di Madrid, Sepanyol baru-baru ini, barisan pelakon Berlin diperkenalkan yang mana diterajui Pedro Alonso.

Alonso cukup meninggalkan impak tersendiri dalam Money Heist.

Menurut pencipta siri itu, Esther Martinez dan Alex Pina, mereka mahu tampilkan sisi cerita mengenai Berlin dalam plot lebih menarik.

Disuntik emosi berat dan komedi pada masa sama, semestinya siri itu bakal menjentik hati penonton lagi.

Menurut Pina, mereka enggan melepaskan peluang itu memandangkan watak Berlin melakar legasi tersendiri. Bagaimanapun, tentu sekali ada banyak perkara perlu dirungkai plot cerita mengenainya nanti.

"Berlin memiliki personaliti yang cukup bersinar sehingga tahap jauh lebih meluas. Kami sangat sukakan idea di mana kami dapat perkenal kuncu baharu Berlin dalam situasi beremosi yang berbeza.

"Pastinya apa yang ditonjolkan nanti lain daripada penonton lihat dalam Money Heist. Ini kerana ia memfokuskan kepada perjuangan serta kesusahan Berlin sebelum dia beralih kepada wataknya dalam siri terdahulu itu," katanya.

BERLIN bakal tampil sisi lain watak Berlin berbanding dalam Money Heist.
BERLIN bakal tampil sisi lain watak Berlin berbanding dalam Money Heist.

Alonso semestinya paling teruja kerana watak lakonannya menjadi pilihan untuk diangkat menjadi siri sendiri pula. Sebagaimana kejayaan Money Heist, dia percaya siri 'spin-off' terbabit mampu mencipta fenomena sendiri.

Hakikatnya, dia juga sudah jatuh cinta dengan skrip Berlin selepas membacanya.

Menurutnya, banyak permainan plot akan mengisi siri itu, sekali gus memberikan penonton lebih keterujaan untuk mengikutinya kelak.

"Cuma ada 10 perkara yang mampu mengubah hari yang teruk bertukar indah. Pertama adalah cinta. Tapi, hakikatnya bukan itu yang berlaku. Isteri saya baharu saja meninggalkan saya.

"Kedua adalah apabila memiliki wang lebih daripada 10 juta Euro. Tapi, sekali lagi bukan itu juga yang berlaku. Kami akan mencuri tali penghubung kepada kes rompakan yang jauh lebih besar lagi," katanya berkongsi sedikit jalan cerita Berlin.

Selain Alonso, turut membintangi Berlin adalah Michelle Jenner melakonkan watak Keila, Tristan Ulloa (Damian), Begona Vargas (Cameron), Julio Pena Fernandez (Roi), dan Joel Sanchez (Bruce).

Setiap watak memiliki kemahiran dalam bidang masing-masing.

Keila sebagai pakar jurutera elektronik, Damian seorang profesor, Cameron seorang kamikaze dan Bruce pula adalah kuncu mereka yang pantang menerima kekalahan.

Diterbitkan sebanyak lapan episod, siri terbabit memulakan penggambaran sejak 3 Oktober lalu. Kebanyakan penggambarannya dilakukan di Perancis dan Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 6:30 AM