THANUJA Ananthan
THANUJA Ananthan
Syanty Octavia Amry


Teruja melakonkan watak atlet negara dalam drama bersiri pendek, Anak Merdeka, pelakon dan pengacara Thanuja Ananthan, 32, tidak kisah walaupun luka teruk ketika penggambaran.

Dia yang juga lahir pada 31 Ogos bagaikan tidak percaya apabila diberi peluang menjayakan drama berat bertemakan kemerdekaan itu.

Mungkin kebetulan lahir pada Hari Kemerdekaan dan diberikan watak atlet negara memberikan cabaran baru buat Thanuja sebagai pelakon.

“Apabila ditawarkan membintangi siri ini, saya terkejut dan gementar kerana bukanlah datang daripada bidang lakonan.

“Ini drama siri pertama saya selepas filem pertama berjudul Temuan Takdir ditayangkan tahun lalu.

“Pengalaman pernah menjadi olahragawati di sekolah menengah banyak membantu saya ketika penggambaran,” katanya.

Thanuja berkata, watak itu sangat mencabar apatah lagi dia banyak mengalami kecederaan dan ada kesan parut luka di tubuh.

“Sangat mencabar kerana saya perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk membuat latihan bersama pengajar terlatih.

“Badan saya penuh parut, tetapi ia sama sekali tidak buat saya serik sebaliknya sangat gembira kerana dapat berlakon dengan ramai pelakon hebat. Mereka banyak membantu saya di lokasi,” katanya.

Anak Merdeka akan disiarkan di saluran Astro Prima, Astro Xi Yue HD dan Astro Vaanavil bermula 26 hingga 31 Ogos ini.

Siri pendek enam episod itu turut dibintangi Remy Ishak, Elvis Chin, Tiz Zaq­yah dan ramai lagi.

Thanuja berkata, walaupun sibuk mengacara, dia tidak menolak jika ditawarkan berlakon pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 1:29 PM