LORENTE pegang watak Denver dalam Money Heist. - FOTO Google
LORENTE pegang watak Denver dalam Money Heist. - FOTO Google
Syafil Syazwan Jefri


Bagi peminat setia siri popular Money Heist yang ditayangkan di platform penstriman Netflix, tentunya bahagian kelima yang juga penutup siri ini dinanti-nantikan.

Berpeluang menemu bual dua bintang siri ini iaitu Jaime Lorente dan Pedro Alonso, mereka berkongsi sedikit sebanyak pengalaman sepanjang memegang watak sebagai Denver dan Berlin.

Bagi Lorente, Money Heist umpama satu 'kehidupan' dan menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak lima tahun lalu.

"Apa yang boleh saya katakan, Money Heist umpama satu 'kehidupan' buat saya dan semua yang terbabit. Ia banyak mengubah hidup kami semua.

"Sejak lima tahun lalu, ketika pertama kali menjalani penggambaran, kami umpama melangkah masuk dalam satu ruang yang tak disangka akan menjadi sebesar ini," katanya.

Pengakhiran siri ini menjadi detik penuh emosi buat dirinya.

"Apabila ia bakal berakhir, tentunya menyentuh emosi semua. Kami kena ucapkan selamat tinggal kepada semua dan saya rasa seperti kehilangan sesuatu," katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman menjalani penggambaran dalam tempoh pandemik, Lorente tidak menafikan berlaku beberapa kesukaran.

"Saya akui, proses penggambaran berdepan beberapa detik sukar. Kami perlu mengikuti protokol keselamatan yang ditetapkan dan masa penggambaran juga menjadi lebih panjang.

WATAK Berlin lakonan Alonso. - FOTO Google
WATAK Berlin lakonan Alonso. - FOTO Google

"Ada yang terkesan termasuk saya sendiri. Bahkan, penggambaran juga perlu dihentikan apabila ada dalam kalangan pekerja yang terbabit dijangkiti Covid-19," katanya.

Ditanya mengenai jangkaan dan harapan yang diletakkan untuk sambutan penonton bagi bahagian akhir ini, Lorente lebih selesa untuk tidak meletakkan harapan tinggi.

"Saya tak suka meletakkan sebarang harapan tinggi kerana tak mahu kecewa. Harapan saya adalah semoga ramai penonton akan menonton dan memahami perjalanan kami," katanya.

Bagi Alonso yang popular menerusi watak Berlin yang meninggal dunia dalam bahagian kedua Money Heist, kehadirannya dalam bahagian akhir ini juga menampilkan sedikit kelainan.

"Dalam bahagian terdahulu, watak Berlin sudah meninggal dunia. Jadi, apabila dimaklumkan bahawa watak ini akan muncul semula, kami berbincang bagaimana untuk merealisasikannya.

"Jadi, kami buat keputusan untuk menyelitkan beberapa babak imbas semula atau 'flashback'," katanya.

POSTER Money Heist bahagian kelima. - FOTO Google
POSTER Money Heist bahagian kelima. - FOTO Google

Pernah muncul dalam beberapa babak 'flashback' di bahagian ketiga sebelum ini, bahagian kelima nampaknya akan membuka sisi berbeza Berlin.

"Ketika awal projek ini dimulakan, semua pelakon diberikan kad dan saya menerima kad untuk memegang watak Berlin. Dari situ, saya tak fikirkan sama ada watak ini baik atau jahat.

"Sebaliknya, saya cuba fokus untuk membawakan nilai kemanusiaan dalam watak yang saya anggap sebagai syaitan ini, memandangkan dalam budaya kami masih ramai lagi yang melakukan aktiviti bomoh.

"Kali ini, penonton akan dapat lihat sisi berbeza Berlin yang sebenarnya, begitu spesifik dan sensitif," katanya.

Money Heist bahagian kelima dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 'Volume 1' yang mula ditayangkan pada 2 September lalu dan 'Volume 2' akan ditayangkan pada 3 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:49 AM