Muaz Fitri
Muaz Fitri
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon drama Takdir Yang Tertulis, Muaz Fitri, 30, cedera ringan ketika melakukan babak pergaduhan dalam filem pendek berjudul Inflakasta, baru-baru ini.

Pengurusnya, Qaseh Anita berkata, ketika kejadian Muaz tersilap langkah menyebabkan dia mengalami kecederaan ligamen buku lali terkoyak.

"Selepas dirawat, doktor memaklumkan kecederaan Muaz hanya pada tahap satu dan tidak perlu menjalani pembedahan," katanya.

Inflakasta adalah filem genre aksi fiksyen arahan Khairi Rusli dan Shafeeq Daniel.

Qaseh berkata, Muaz sekarang terbabit dalam empat penggambaran serentak iaitu Cinta Yang Tertangguh terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Kalis Peluru (Tsar Studio), Tukang Curi Hati (Gerbang Dermaga Production) dan Inflakasta (Rubbertapper Production dan Adikarya Studio).

"Semua penggambaran masih diteruskan kerana Muaz masih boleh berjalan perlahan-lahan dengan bantuan tongkat.

"Untuk drama Cinta Yang Tertangguh, Muaz membawakan watak sebagai cef. Jadi, pengarah terpaksa buat babak dia terlanggar meja. Sekurang-kurangnya dia boleh berlakon dengan watak terhincut-hincut dalam cerita itu," katanya

Muaz atau nama sebenarnya Muaz Aidil Fitri Maslan mula dikenali menerusi watak antagonis sebagai Hakim menerusi drama bersiri popular, Takdir Yang Tertulis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:48 PM