PANJANGKAN langkah dengan serlah bakat dalam penulisan skrip.
PANJANGKAN langkah dengan serlah bakat dalam penulisan skrip.
Ridzuan Abdul Rahman


TAHUN 2022 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa hari lagi menjadi tahun yang indah buat Muaz Fitri.

Ia kerana pelakon berusia 31 tahun ini berjaya mengecapi beberapa pencapaian yang dianggap besar dalam karier lakonannya.

"Alhamdulillah tahun ini karier saya agak berjaya dan boleh dianggap cemerlang bersinar apabila membintangi drama Melastik Ke Hatimu 2 di samping barisan pelakon hebat seperti Janna Nick dan Andi Bernadee yang disiarkan di TV3.

"Selain itu, saya juga terbabit dalam tiga lagi drama iaitu Wasilah Kasih, Dinasari dan Cinta Yang Tertangguh yang masih menanti tayangan di RTM.

"Lebih menggembirakan, saya dapat menghasilkan skrip untuk telefilem berjudul Kasih Abang terbitan Red Intrade Sdn Bhd dan diarahkan Amie Maziah Abd Rahman," katanya.

Menurutnya, telefilem disiarkan di TV2 pada 12 Disember lalu yang turut dibintanginya mendapat sambutan hangat penonton, sekali gus membawa dimensi baharu dalam kariernya sebagai anak seni.

"Saya sedar saingan sengit dalam industri seni dan cuba memanjangkan langkah dengan mengambil peluang menyerlah bakat dalam penulisan skrip pula.

"Ia perlu dilakukan supaya saya terus berada dalam industri hiburan ini yang menjadi darah daging sejak dulu. Saya tidak boleh hanya mengharapkan bakat lakonan semata-mata.

"Jadi, saya tulis beberapa sinopsis untuk telefilem. Bagaimanapun, tak sangka skrip Kasih Abang akhirnya terpilih," katanya.

Muaz berkata, dia terbabit hampir 80 peratus bermula dari penulisan skrip, pemilihan lokasi dan pelakon.

"Ceritanya menarik kerana mempunyai konsep kenegaraan. Idea ceritanya dibuat daripada hasil perbincangan bersama penerbit yang memberikan sepenuh kepercayaan untuk saya mengembangkan plot penceritaan.

MUAZ akui mula seronok menulis skrip sebagai cabang kerjaya baharu selain berlakon.
MUAZ akui mula seronok menulis skrip sebagai cabang kerjaya baharu selain berlakon.

MUAZ bersama Datuk Jalaluddin Hassan dan Wani Kayrie.
MUAZ bersama Datuk Jalaluddin Hassan dan Wani Kayrie.

"Memandangkan lakonan juga agak mencabar saingannya, mungkin ia boleh menjadi satu lagi sumber pendapatan buat saya selepas ini.

"Malah selepas ini saya juga ada terfikir untuk memasuki mana-mana kelas atau bengkel penulisan untuk memperbaiki lagi teknik penulisan ke arah lebih baik.

"Buat masa ini, saya sudah pun menghantar satu lagi skrip cerita kepada TV3 dan insya-Allah, ia adalah projek saya untuk 2023," katanya.

Muaz turut mengharapkan kedatangan 2023 tidak lama lagi, terus menyerlah sinar buatnya terutama dalam mengejar impian membintangi filem pertama tercapai.

"Saya sebenarnya pernah mendapat peluang daripada pelakon dan pengarah, Hairul Azreen untuk sesi uji bakat filem bersamanya, tapi ketika itu mungkin belum ada rezeki.

"Apa pun yang pasti saya sukakan genre aksi dan sebelum ini pernah berlakon karya aksi dalam filem pendek berjudul Inflakasta," katanya.

Berbicara peribadinya, Muaz yang pernah membintangi drama Takdir Yang Tertulis di TV3 ini sudah bertunang dengan pengurusnya, Qaseh Anita, 46, pada 12 Julai lalu.

Mereka yang sepatutnya berkahwin pada Oktober lalu, terpaksa menangguhkan dulu perancangan hari bahagia itu kerana adik perempuannya terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan untuk keluar bekerja. Muaz berkata, kini adiknya memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Saya akui agak rimas apabila orang asyik bertanya perkara berkaitan perkahwinan ini. Tapi, biasalah mereka mungkin tidak tahu apa masalah yang kita hadapi.

"Tambah lagi, saya pun tidak berapa terbuka bercerita berkenaan masalah keluarga. Buat masa ini, adik perempuan saya masih dalam proses 'recover' (pemulihan) selepas kemalangan.

"Insya-Allah, bulan depan yang dah masuk tahun baharu, dia kemungkinan boleh bekerja semula. Walaupun dia masih belum dapat bergerak dengan sempurna, saya pasti semuanya berjalan mengikut perancangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 6:00 AM