Hanna Faresha
Hanna Faresha

Kuala Lumpur: "Assalamualaikum. Saya dengan merendah hati memohon maaf atas kesilapan ayah saya."

Demikian luahan anak perempuan pelakon Fauzi Nawawi, Hanna Faresha terhadap kesilapan bapanya mengenai perkongsian cerita babak rogol dia terhadap pelakon, Raja Farah dalam filem Anak Halal menerusi program bual bicara Rumah No 107, baru-baru ini.

Hanna yang juga model muslimah menerusi Instagram Story mengakui, sebagai wanita dia juga tidak bersetuju dengan kenyataan bapanya dan turut terkesan.

"Saya harap kesilapan ini dapat dijadikan pengajaran buat kita semua terutama kepada keluarga kami. Saya tiada di tempat kejadian dan tidak terbabit secara langsung dalam hal ini.

"Oleh itu biarlah beliau selesaikan hal ini dengan pihak yang terkesan. Harap tidak lagi diperbesarkan," tulisnya.

Hanna juga meminta supaya semua pihak menghentikan komen, menghantar kata-kata yang tidak sepatutnya seperti cacian dan makian kepadanya serta ahli keluarganya yang lain.

Terdahulu, bapanya teruk dikecam netizen berikutan pengakuan menyukai wataknya sebagai perogol. Fauzi menceritakan secara terperinci lakonannya dalam sebuah adegan 'panas' bersama Raja Farah dalam filem Anak Halal ketika tampil dalam sebuah program bual bicara itu.

Babak itu bagaimanapun dibuang atas permintaan keluarga Raja Farah.

Raja Farah bagaimanapun mengakui sudah menerima permohonan maaf daripada Fauzi menerusi mesej (DM) di Instagram, kelmarin.

Dia juga tidak mahu lagi memanjangkan isu berkenaan dan menganggap semuanya sudah selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:46 PM