Shahrol Shiro
Shahrol Shiro

Kuala Lumpur: Pelawak Shahrol Shiro menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan saman terhadap artis dan produksi program bual bicara Rumah No 107 atas penggunaan perkataan 'rogol' dalam program TV.

Shahrol, 37, atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi berkata, kumpulannya iaitu Shiro pernah disaman pihak terbabit kerana menyebut perkataan 'rogol' pada program Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012).

"Kesalahan tidak sensitiviti terletak pada individu yang melafazkan dan mengupas isu itu dengan lebih mendalam sehingga membuatkan orang tersinggung.

"Kesalahan produksi pada sensitiviti isu dan teknikal yang dilakukan sehingga terkeluar dan dipertontonkan kepada umum hingga menjadi isu. Oleh kerana kumpulan saya pernah disaman SKMM kerana cuma menyebut perkataan 'rogol' pada MLM2012, makanya SKMM juga perlu mengambil tindakan pada artis atau produksi berkenaan. Saya tidak menyebelahi pihak yang melakukan kesalahan," katanya.

Selain Shahrol, pelakon Sharifah Amani menerusi ciapan di Twitter juga mengkritik tindakan artis terbabit.

"Tugas anda sebagai pelakon adalah menjayakan babak itu dengan selamat, efektif dan beretika. Ini bukan main main suka hati nak layan nafsu. Ini kerja, ini amanah. Kerjaya saya tidak benarkan kelakuan sebegini. Kalau itu niat sebenarnya mohon jauhkan dari kerja seni," katanya.

Terdahulu, video membabitkan perkongsian cerita aksi rogol pelakon Fauzi Nawawi terhadap Raja Farah dalam filem Anak Halal tular sejak kelmarin.

Tindakan Fauzi yang mengimbas kembali perkara itu dalam program Rumah No 107 yang menampilkan pengacara Khir Rahman dan Shuk itu mengundang kecaman netizen termasuk Raja Farah dan suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 2:33 PM