RAJA Farah. FOTO Arkib NSTP
RAJA Farah. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Raja Farah mengakui jiwanya terganggu ekoran penularan video perkongsian cerita aksi rogol oleh Fauzi Nawawi dalam filem Anak Halal menerusi sebuah program bual bicara, baru-baru ini.

Raja Farah, 33, atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz ketika dihubungi berkata, suaminya, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria banyak memberikan sokongan.

"Jiwa saya agak tak stabil tapi saya sudah okay sekarang. Suami banyak bagi sokongan. Saya juga buat saja semua aktiviti harian saya. Insya-Allah," katanya kepada Harian Metro.

Raja Farah berkata, dia juga sudah menerima permohonan maaf daripada Fauzi menerusi mesej (DM) di Instagram, kelmarin.

Bagaimanapun, dia tidak menerima permohonan maaf secara peribadi daripada pengacara program berkenaan yang juga pelakon Khir Rahman walaupun perkara itu sudah dibuat di Instagram.

"Sejujurnya, saya tak ada terima sebarang permohonan maaf daripada abang Khir, tapi saya tengok dia ada cuba cari nombor telefon saya. Namun, dia tidak ada DM atau apa-apa. Hanya daripada abang Fauzi dan isterinya saja. Kalau abang Fauzi, dia ada DM saya dan muat naik di Instagram juga. Bagi saya, lebih baik mohon maaf terus kepada saya," katanya.

Menurut Raja Farah, dia juga tidak mahu lagi memanjangkan isu berkenaan dan menganggap semuanya sudah selesai.

"Sebenarnya saya tak ada nak komen sangat. Ini kerana secara asasnya perkara ini sudah selesai. Cuma, sudah tentu saya harap sangat perkara seperti ini tidak terjadi lagi kepada sesiapa. Saya harap semua pihak yang terbabit dalam mana-mana program bual bicara akan lebih sensitif dalam menghasilkan apa-apa kandungan," katanya.

Terdahulu, Raja Farah juga pelakon filem Anak Halal yang ditayangkan pada 2007 mengakui berasa malu dan tidak dihormati sebagai seorang wanita dan isteri apabila beberapa pelakon lelaki membicarakan pengalaman melakonkan watak jahat merangkumi babak rogol dengan salah seorang menyebut namanya.

Menurut Farah, perkara itu tidak sepatutnya diutarakan kerana ia ternyata memberi kesan kepadanya selain dianggap membuka aib.

"Saya sangat terkesan. Terasa dibuka aib dan rasa seperti tidak dihormati. Sebagai seorang isteri, tentunya saya akan pergi kepada suami untuk bertanyakan pendapat kerana begitu ramai yang minta saya respons terhadap isu ini.

"Saya pun tak nak ada perbalahan. Jangan pula ada pihak yang mahu memburukkan keadaan. Saya dan suami berlapang dada. Mungkin pihak yang berkata-kata itu boleh buat permohonan maaf walau tak secara terbuka pun tak apa. Normal kita sebagai manusia ada tersalah kata dan sebagainya. Harap boleh diselesaikan. Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 12:51 PM