PERIUK yang digunakan Shiera untuk menyimpan air. FOTO IG SHIERA
PERIUK yang digunakan Shiera untuk menyimpan air. FOTO IG SHIERA

Kuala Lumpur: Isu ketiadaan air di Selangor bermula hari ini turut dirasakan golongan artis dan sejak semalam, beberapa selebriti tanah air memuat naik hantaran mencuit hati mengenai isu ini.

Antaranya, pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah atau Shiera yang memuat naik simpanan air di dalam periuk besar di rumahnya.

"Laki (suami) aku pakai periuk ya. Kami ada periuk besar sebab selalu kenduri. Selamat datang ke dunia tak ada air sampai Sabtu. Katanya, pukul 9 malam, baru buka (air) Sabtu itu. Mulai hari ini lah ya?" tulisnya di Instagram.

Selain Shiera, pelakon, Puan Sri Tiara Jacquelina turut berkongsi hantaran mencuit hati memaparkan satu babak dalam filem Puteri Gunung Ledang lakonannya bersama Datuk M Nasir.

"Kanda. Tunggu Selangor dah ada air dulu, baru rentas negeri jumpa dinda ya," tulisnya dalam ruangan keterangan.

Dalam gambar yang dimuat naik Tiara, turut disertakan dialog lucu perbualan antara watak Puteri Gunung Ledang dengan Laksamana Hang Tuah.

"Tuan hamba tak mandi ke?" tanya Puteri Gunung Ledang.

"Tak. Hamba tinggal di Selangor," jawab Hang Tuah.

Sejak beberapa hari lalu, diumumkan mengenai ketiadaan air di Selangor yang akan menjelaskan 998 kawasan sekitar Lembah Klang selama empat hari bermula hari ini.

Wilayah yang terkesan adalah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 11:26 AM