NABILA Huda.
NABILA Huda.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya minta maaf kalau ada yang kurang," kata pelakon Nabila Huda, 37, mengenai penampilannya sebagai pengacara program Melodi yang ditayangkan setiap Ahad di TV3.

Bagaimanapun, Nabila mengakui semakin selesa menjalani rutin mingguan sebagai pengacara sejak mengambil alih program itu pada 25 Julai lalu.

"Terima kasih kerana menonton Melodi. Ada yang tersasul. Itu memang 'trademark' saya, kemudian gelakkan diri sendiri. Sejujurnya, saya sudah agak selesa dengan rutin mingguan ini. Sudah mula sayang. Kalau sudah sayang itu bahaya tau. Saya jenis kalau sayang, lagi bertambah 'all out'.

"Apa pun, saya hanya nak anda tahu mengacara bukan bidang utama saya. Kerjaya saya tetap seorang pelakon dan tidak akan berubah. Cuma, saya suka teroka perkara baru untuk dijadikan kenangan yang takkan dilupakan dalam hidup," katanya.

Nabila menerusi hantaran di Instagram berkata, dia juga lebih bersungguh-sungguh atas kepercayaan yang diberikan.

"Apabila diberi kepercayaan, saya kena bersungguh-sungguh. Dari episod pertama sehingga sekarang, setiap minggu perasaan teruja itu masih sama dan saya akan pastikan ia berterusan. Yang lagi buat semangat adalah penampilan atau 'look' setiap minggu dan hasil tenaga daripada orang penting yang menyiapkan saya.

"Dari mekap, rambut, gaya dan gambar, semua seiring. Mungkin boleh kongsi apa yang buat anda teruja nak tengok Melodi setiap minggu. Kalau ada apa-apa yang saya perlu perbaiki atau elakkan? Saya masih belajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 3:38 PM