Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penerbit dan penulis skrip supertelefilem berjudul Frontliner, Aminahtul Mardiah Md Nor lega dan bersyukur apabila karya itu akan ditayangkan di saluran Netflix secara global mulai 30 September ini selepas setahun 'terperam'.

Aminahtul Mardiah atau mesra disapa Min ketika dihubungi berkata, dia pernah kecewa dan hampir putus asa apabila karya terbabit yang dilabel 'produk siap' sukar mendapat kerjasama untuk saluran tayangan.

"Bagaimanapun, sekarang saya lega kerana Allah sudah membuat perancangan yang baik buat kami apabila Frontliner akan ditayangkan di Netflix di seluruh dunia mulai 30 September ini.

"Selepas setahun terperam sebaik disiapkan pada tahun lalu, perjalanan karya ini untuk tayangannya kepada penonton tidak mudah dan berliku.

"Sebagai penerbit, saya juga pernah ditipu hidup-hidup oleh ejen pertama yang menjadi perantara untuk kami dengan Netflix. Kerugian dialami akibat ditipu itu biarlah menjadi pengalaman untuk saya lebih belajar serta memahami selok-belok pemasaran dalam industri ini. Perkara sedih yang sudah berlaku itu tidak perlulah terlalu dikenang," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya perbelanjaan sudah dikeluarkan produksinya untuk Frontliner, Min berkata, ia sekitar RM400,000 berikutan ada kos penambahbaik untuk audio berkualiti sebagaimana memenuhi permintaan Netflix.

AMINAHTUL Mardiah.
AMINAHTUL Mardiah.

"Sebenarnya, saya tidak mendapatkan sebarang dana dalam penghasilan Frontliner ini. Semuanya guna duit saya sendiri dengan matlamat karya ini mahu mengangkat perjuangan petugas barisan hadapan yang begitu besar sumbangan dan jasa mereka pada kita semua dan negara selama dibadai Covid-19.

"Karya ini umpama ucapan terima kasih dan penghargaan daripada industri seni dan kreatif serta kita semua di atas penat lelah dicurahkan oleh 'frontliner' sepanjang menangani penularan Covid-19 ini hampir dua tahun yang belum lagi selesai," katanya.

Min berkata harapannya kini semoga Frontliner mendapat sambutan baik daripada penonton.

Menurutnya, buat pihak-pihak yang mahu membuat ulasan Frontliner diminta menonton terlebih dahulu dan tidak bersikap serkap jarang saja.

"Saya tahu karya ini tidaklah sempurna kerana masih banyak yang boleh diperbaiki lagi. Namun, dalam pelbagai kekangan yang dihadapi ketika penggambaran, kami sudah menghasilkannya sebaik mungkin dan semoga mesejnya sampai untuk kita semua," katanya.

Frontliner arahan Razif Rashid dan diterbitkan D Alpha Legacy ini membariskan pelakon seperti Azhan Rani, Emma Maembong, Beto Khusyairy, Farah Ahmad, Achey, Wan Maimudah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:50 PM